抖阴社区

Bab 17

8.5K 306 5
                                    

Puan Zakiah menatang dulang yang diletakkan dua cawan kopi serta sepinggan keropok lekok. Dari dapur, Puan Zakiah berjalan ke halaman belakang rumah di mana Tuan Adnan sedang mengembur tanah. Entah sayur apa lagi yang ditanam oleh pesara itu.

"Abang, meh minum dulu. Basahkan tekak, saya pun ada cerita nak kongsi dengan abang," panggil Puan Zakiah, terlebih dahulu menarik kerusi. Kopi panas dituang ke dalam cawan yang dilapik piring leper.

Tuan Adnan menanggalkan sarung tangan. Paip dibuka, mengalirkan air ke setiap celah jari yang berpasir. Tuan Anan mengambil tempat di hadapan Puan Zakiah. "Cerita apa pula hari ini. Setiap hari, mesti ada cerita baru, dah macam surat khabar bergerak."

"Hari ini istimewa sebab ada berita gembira tentang anak menantu kita. Ya Allah, akhirnya doa kita dimakbulkan oleh Allah. Saya hilang kata bila Teratai beritahu saya di telefon tadi." Puan Zakiah menggeliat kecil. Kedua-dua tangan melambai teruja di udara.

"Hah? Kita nak dapat cucu ke?"

Puan Zakiah jongket kening. "Bukan, belum lagi. Tapi, inshallah akan ada harapan untuk kita menimang cucu secepat yang mungkin. Untuk pengetahuan abang, Khalid dah mula cintakan Lily. Mereka tengah angau bercinta sekarang, siap bersayang-sayang lagi. Sweet juga anak teruna kita ya!"

Tuan Adnan meraup muka tanda syukur. "Alhamdulillah, lega hati saya. Kan saya dah kata, lambat-laun, Khalid akan jatuh cinta juga dengan Lily. Kalau Khalid tolak Lily, dia memang buta, rugi lagi. Dahlah cantik, baik pula tu."

"Itulah, mujur anak teruna kita tu ada mata yang cerah. Cepat celik! Abang, apa kata kita minta dorang balik, sekejap pun jadilah. Rindulah saya dengan dorang. Sejak ada menantu ni, rasa rindu tu makin menjadi-jadi. Sebelum ini, tak adalah pula. Abang setuju tak ni?"

Otak Puan Zakiah sudah merangka pelbagai menu serta aktiviti yang dia ingin lakukan bersama nanti. Puan Zakiah tidak sabar.

Tuan Adnan mengunyah keropok lekor yang digoreng garing. Kopi suam dihirup, pekat manis terasa di tekak. Padanan kopi dengan keropok lekor kena apabila bertemu di dalam mulut.

"Suka hati awak. Saya ikut aje. Telefon Khalid dulu, takut dia dah mula sibuk."

"Abang makan ya, habiskan semua pun tak apa. Saya nak telefon anak kita sekejap. Bolehlah dorang rancang awal-awal." Puan Zakiah hilang sekelip mata meninggalkan Tuan Adnan yang masih terkebil-kebil.

Tuan Adnan menggigit isi keropok yang penuh dengan isi ikan, menikmati makanan seorang diri. "Kenyang dah hari ini!"

Pit! Pit! Pit!

"Adnan!"

Sebuah motor Honda EX5 membelok masuk ke halaman rumah. Hampir tersembul keluar keropok dari mulut kerana terkejut. Tuan Adnan panjangkan leher untuk mengecam tetamu yang datang tanpa perkhabaran terlebih dahulu itu.

"Adnan!"

"Sini, Jusoh!" Tuan Adnan melambai.

"Kau rupanya, aku ingatkan siapalah tadi datang. Kau baru naik ke baru nak turun ke laut?" soal Adnan kepada kawan baiknya itu. Jusoh merupakan nelayan yang paling otai di Pulau Pangkor. Selok-belok laut di hujung jarinya sahaja.

Jusoh menarik kerusi. Kopi yang dihidangkan oleh Tuan Adnan dihirup sedikit. "Aku baru balik tengah hari tadi. Nah, ikan pari yang kau minta dengan aku hari itu. Ada rezeki kau hari ini, tak payah bayar. Aku bagi ikhlas."

"Woishh, alhamdulillah. Segar-segar lagi, bolehlah makan asam pedas esok. Terima kasihlah, untung aku ada kawan nelayan macam kau. Nak makan ikan segar, minta aje...." Tuan Khalid koyak senyuman senang hati.

"Banyak ke hasil kali ini?" soalan Tuan Adnan mengundang ketawa kecil daripada Jusoh. Topi lebar ditarik daripada kepala lalu dikipaskan ke muka.

"Alhamdulillah, ada rezeki aku walaupun banyak kali juga terserempak dengan bot orang Vietnam. Pernah sekali aku nampak TLDM tahan mereka dekat Pulau Jarak. Tak tahulah apa yang buat mereka berani ceroboh perairan kita, tangkap hasil yang ada di negara orang lain. Nak kata Maritim dengan TLDM tak buat kerja, setiap masa dorang duduk atas air. Rasanya, undang-undang kita kena diketatkan lagi. Hukuman bagi mereka ringan, itu yang tak pernah serik," komen Jusoh. Melihat bot asing di laut bukan pemandangan luar biasa. Tak pernah sehari berlalu tanpa ketenangan hati memikirkan perairan negara tidak dicerobohi.

Let It Rain (Complete)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang