Langkah mereka pantas.
Langit semakin merah bukan kerana matahari terbenam, tapi kerana satu jalur cahaya buatan sedang menari di antara awan, menggigil seolah-olah sistem langit itu sendiri mula runtuh.
Tashfiya dan Todd melintasi padang mati yang dulunya sawah. Daun padi sudah lama tidak wujud di tanah ini. Hanya tanah retak, dan bangkai besi sistem pertanian Atheris yang kini berkarat di bawah matahari yang tak lagi menyinari dengan jujur.
“Kita dekat dengan sempadan Bayumas,” kata Todd, matanya melirik ke arah skrin kecil di pergelangan tangannya. “Tapi kawasan ni, kawasan merah. Mereka panggil Redzone.”
Tashfiya mengangguk perlahan. Tanda memahami bahawa Todd menyuruhnya untuk berhati-hati.
Dia baru hendak melangkah semula namun angin berubah. Helaan udara yang tadi panas kini menyentuh kulit seperti cecair sejuk. Langkah mereka mati.
Seseorang berdiri di hadapan mereka.
Tak kedengaran langkah. Tak terasa kehadiran, tapi dia di situ. Tepat di tengah jalan, dengan baju putihnya yang berkibar perlahan.Zen.
Dia hanya memandang. Matanya gelap, tak seperti sebelumnya. Rambutnya, merah darah.
Tashfiya menelan liur. “Zen...”
Zen tak menjawab terus. Dia menoleh pada Todd, kemudian kembali kepada Tashfiya. Suaranya bila keluar, seolah-olah bukan hanya suara seorang, tetapi gema dari beratus tahun diam.
“Kau siapa?”
Tashfiya pandang tepat ke arahnya.
“Nama aku Tashfiya. Ini Todd. Kami dari Undreign. Kami bukan musuh kau, Zen.”
Zen diam sebentar. Dia seperti memproses maklumat itu perlahan-lahan. Kemudian dia melangkah ke hadapan. Satu, dua langkah. Setiap tapaknya tak berbunyi, seperti dunia pun tak mahu mengganggu pergerakannya.
“Undreign,” katanya. “Itu tempat yang mereka sebut. Aku adalah Ketua Regimen Pertama Atheris. Aku diarahkan untuk bakar rakyat dan negeri di situ.”
Tashfiya tersentak. Jantungnya berdetak lebih kuat. Todd secara refleks menariknya sedikit ke belakang.
“Maksud kau...” Todd bersuara. “Kau... pernah diperintahkan untuk hapuskan kami?”
Zen tidak menyangkal. Hanya berkata, perlahan.
“Ya.”
Dengan satu hembusan, rambutnya berubah. Dari merah ke putih. Matanya sedikit memejam, seolah-olah ada serpihan kenangan yang menetaknya dari dalam.
“Aku, ciptaan mereka. Tentera yang mereka anggap sempurna. Tapi sempurna bukan bererti setia.”
Dia menatap mereka kembali.
“Aku bukan kawan. Tapi aku juga bukan musuh sekarang. Aku tahu jalan keluar dari Redzone. Tapi kita tak ada banyak masa. Atheris tahu aku di sini. Mereka tak akan hantar askar biasa.”
Dan angin kencang itu kembali.
Satu bunyi meletup dari atas.
Helikopter milik Zelos. Hitam legam, tanpa lampu, hanya bunyi kipas yang menghentam angin muncul dari balik bukit. Kemudian satu menjadi dua, dua menjadi lima.
Tashfiya tarik lengan Todd.
“Jom, kita lari.”
Tapi Zen angkat tangan sedikit.
“Terlambat. Mereka dah nampak kita.”
Laser merah menyinar turun. Bunyi pembesar suara mula berbunyi dari atas langit.
“ZEN-01. ANDA DIARAH BERHENTI. SERAH DIRI ATAU PENGHAPUSAN AKAN DILAKSANAKAN.”
Todd mengangkat kepala. “Mereka nak bunuh kau, Zen. Bukan tangkap.”
Zen memejam mata seketika.
Di saat dia membuka mata semula, seluruh badannya hilang dari pandangan manusia lain.
Tashfiya ternganga.
“Todd, mana dia?”
“Dia...”
Sebelum sempat habis berkata, satu jeritan logam kedengaran dari atas.
Salah satu helikopter tiba-tiba berpusing liar. Kipasnya pecah, terbakar di udara. Kemudian, jatuh seperti letusan bom.
BOOM!
Letupan merobek tanah, api menyambar langit. Pasir dan asap menutup pandangan.
Helikopter kedua cuba mengundur, tapi satu bayang putih muncul di atas. Zen berdiri di sana, tangannya menyentuh kokpit.
Letupan kedua.
Tashfiya dan Todd terbaring di tanah, melindungi kepala. Angin dari letupan menyambar kulit, telinga berdengung.
Zen muncul kembali di depan mereka, masih tenang. Tak luka. Tak cedera.Rambutnya kini kelabu. Mata separuh terbuka.
“Kita kena gerak sekarang. Sebelum yang seterusnya datang.”
Tashfiya terdiam. Dia tak tahu sama ada patut ikut atau lari. Tapi Todd yang menjawab. “Kalau kita tak ikut, kita mati kat sini.”
Zen berpaling. “Laluan selamat ada di bawah tanah. Ikut aku.”
Di langit sempadan Bayumas malam itu, tentera terhebat ciptaan dunia sedang lari bersama dua manusia biasa, yang sepatutnya menjadi musuhnya.
Tapi dalam dunia yang sudah retak,
mungkin musuh semalam adalah satu-satunya harapan esok.Angin dalam terowong makin dingin.
Mereka bertiga sudah berjalan hampir setengah jam menyusuri laluan lama bawah tanah, meninggalkan ruang utama yang seakan gereja batu.Di kiri dan kanan, dinding mulai berubah. Tidak lagi batu kasar, tetapi konkrit bersalut simbol lama. Tanda-tanda sistem sebelum Atheris merampas segalanya. Ada lambang seperti matahari, di bawahnya tulisan-tulisan Bayumas yang kini sudah dilarang.
Zen menyentuh satu simbol dengan jari telunjuknya. “Dulu,” katanya perlahan, “manusia masih percaya pada cahaya yang bukan dicipta oleh tangan sendiri.”
Tashfiya memandang Todd sekilas. Mereka berdua letih, tapi mulut mereka tertutup. Bukan kerana takut, tapi kerana aura Zen sendiri seperti menelan semua soalan.
“Pusat kawalan kau...” Tashfiya bertanya akhirnya. “Dekat mana?”
Zen berhenti. Dia mengangkat wajah, seolah-olah sedang mendengar sesuatu jauh di atas sana.
“Tempat yang mereka fikir manusia takkan pernah cari.” Dia berpaling.
Todd mengerutkan dahi. “Ada di Kuala Lumpur?”
Zen angguk. “Sebelum Atheris, ia adalah rumah kepada pelarian sistem. Mereka simpan memori. Atheris lemaskan tempat tu dengan projek penambahan empangan. Sekarang, ia berada jauh di dasar laut. Tapi pusat kawalan aku ada banyak. Cuma operasinya berbeza."
Tashfiya menarik nafas panjang.
Zen menoleh.
“Kalau aku gagal, sistem akan jejak. Dan aku akan kembali seperti dulu.
Bukan sebagai kawan. Tapi sebagai senjata.”Terus, Todd dan Tashfiya menelan liur yang terasa berpasir menuruni kerongkong.

ANDA SEDANG MEMBACA
Zero One
Science Fiction[ON HOLD] Start : 10 July 2025 End : TASHFIYA NURINA - Wanita ini merupakan seorang doktor bedah yang biasa. Namun tragedi tiba-tiba yang menimpa hospital itu tanpa amaran menyebabkan dia salah seorang doktor yang terperangkap di dalam bangunan itu...