Tengah malam itu, kawan serumah aku yang bernama Petak (nama manja yang emak dia bagi sebab muka dia empat segi) mengajak aku ke Warung Tok Minah. Daripada melepak-lepak di depan tv tak buat apa-apa, lebih baik aku melepak di Warung Tok Minah. Di sana pun ada tv juga. Perut aku ini pun kemain lagi berkeroncongnya bila dengar Petak menyebut nama Tok Minah. Nasi paprik daging Tok Minah memang piau Siam. Juling mata makan. Tambah yang masak itu Azizah, cucu Tok Minah yang cantik lawa. Sayangnya, Azizah sudah berkahwin. Kempunan aku nak memperisterikan dia.
Takpelah. Tak dapat orangnya, dapat rasa air tangan Azizah pun jadilah.
“Kau belanja baru aku keluar.” Aku mengacah. Toleh kepala sahaja, belum bangun dari berbaring lagi. Acah dahulu. Untung nasib, Petak belanja.
“Aku nak belanjalah ni.” Petak membuka pintu depan. “Kau nak ikut tak?”
“Jap. Aku pakai baju.” Kelam-kabut aku bangun. Masuk ke bilik tidur, salin baju elok sedikit, pakai seluar panjang, sapu pomade pada rambut, telek muka di cermin tengok hensem ke tidak sebab tak mahulah Azizah tengok muka aku serabai, selepas itu aku ke depan. Petak sudah menunggu di atas motor dia.
“Kau dapat bonus ke apa?” tanyaku, memakai helmet sambil memanjat pelana motosikal.
“Yup!”
“Pinjam sikit. Heh heh heh.” Aku ketawa, konon-kononnya mengacah tetapi kalau dia bagi, aku terima.
“Ni aku nak belanja kau, kira bagi sikitlah ni.”
“Pelit punya member. Heh heh heh.” Hati sedikit hampa tetapi aku ketawa lagi supaya Petak tak tahu aku serius tadi.
Warung Tok Minah tak jauh dari rumah sewa kami. Pergi jalan kaki pun boleh tetapi lambatlah sampai. Lagipun rugi jalan kaki selepas makan. Sampai rumah lapar balik.
Macam biasa, Warung Tok Minah ramai orang. Azizah berkelentung-kelentang di dapur, menyiapkan pesanan orang. Mak tok dia duduk di kaunter, kira duit.
“Minum apa, bang?” Budin, adik lelaki azizah siap sedia nak mengambil oder kami.
“Tanya dia. Dia belanja malam ni.” Aku menuding ke arah Petak. Dia yang nak belanja, biar dia sendiri yang oder. Lagi selamat macam tu. Takut aku teroder banyak, bukan apa.
“Macam biasalah. Teh O ais limau dua. Kau nak makan apa malam ni? Nasi paprik ke…”
“Paprik daging.” Pantas aku menjawab. Tak pandang muka Petak pun sebab aku sibuk perhatikan seorang awek. Dia duduk sorang-sorang sahaja di meja hujung itu. Tunggu kawan agaknya.
“Paprik daging dua, teh O ais limau dua.” Petak duduk menyenget selepas oder.
Kami tak sembang pun. Di rumah sudah puas bersembang. Petak ralit menonton perlawanan bola sepak di tv. Aku pula ralit memerhatikan awek yang duduk sorang-sorang tu. Nampak macam dia tengah menunggu seseorang. Mungkin dia tunggu pakwe. Lemah terus hati aku jadinya.
Orang cantik macam tu, mesti dah ada pakwe.
Tiba-tiba awek tu pandang aku. Muka dia comel ya Rabbi. Dalam cahaya tak kuat pun aku boleh nampak betapa cantiknya dia. Mata dia, bibir dia, aduh, mak… terliur aku dibuatnya. Agaknya memang aku drooling kut sebab awek tu tersipu-sipu tunduk, selepas itu dia jeling aku.
‘Aih, pompuan ni! Dia tengah goda aku ke apa ni?’ Melintas soalan itu dalam hati aku. Nampak macam dia tengah menggoda aku, dengan jelingannya, senyumannya tetapi saja je kut. Nak balas dendam kat pakwe dia kut sebab datang lambat.
“Oih! Kau balik kampung tak minggu depan?”
“Apa?” Aku tanya Petak balik. Terperanjat, tiba-tiba sahaja kena soal.

ANDA SEDANG MEMBACA
Awek Mata Bundar
HorrorAku copy paste daripada Fiksyen Shasha. Saja nak kongsi dengan warga wattpad. Story owned by Abe Krambit ( not me )