抖阴社区

Part 3

2K 112 15
                                        

 TRUUT!! TRUUT!!

Aminah yang dari tadi sibuk mengemas barang-barangnya memandang telefon bimbit yang bergetar di atas meja itu membuatkan semua pergerakannya terhenti. Satu nombor yang tidak dikenali tertera pada skrin hadapan.

"Siapa pula ni?" getus hati Aminah ketika dia membaca nombor it. Kerutan jelas terpancar di wajahnya. Dia menarik nafas panjang tanpa berfikir panjang sebelum menekan butang terima panggilan.

"Hello?"

Tiada sebarang sahutan yang diterima dari dalam talian itu.

"Hello?"

Tetap tiada balasan. Bagaimanapun kedengaran seperti ada seseorang di dalam talian. Ia tidak sunyi tanpa sebarang bunyi langsung.

"Ish!!"

Aminah terus mematikan panggilan itu sambil mendengus kuat. Dia meletakkan semula telefon bimbit itu di atas meja sebelum kembali melakukan kerjanya. Tidak lama kemudian, ia bergetar lagi.

"Siapa ni?!!" bentak Aminah. Dia menghempas barang yang dipegangnya kerana terlalu geram.

Belum sempat dia menjawab panggilan itu, lampu terpadam secara tiba-tiba membuatkan dia memberhentikan langkahnya.

"Alamak..."

Aminah meraba-raba sambil berjalan kerana risau akan terlanggar sesuatu. Dia membuka laci mejanya untuk mencari lampu suluh yang disimpan di situ. Dalam keadaan gelap, perkara itu benar-benar sukar dilakukan.

TOK!! TOK!! TOK!!

Aminah menoleh pantas. Bulu romanya mula meremang. Peristiwa ketukan pintu yang mereka alami cuti semester lepas masih lagi segar dalam ingatan membuatkan sedikit sahaja perkara aneh menjadi ketakutan padanya.

TOK!! TOK!! TOK!!

"Ya Allah, apa aku nak buat ni?" gumam Aminah sendirian.

Semakin lama semakin kuat bunyi ketukan pintu itu. Aminah semakin risau. Jantungnya berdegup amat laju pada ketika itu. Jika ini keadaan biasa semasa asrama penuh dengan pelajar, dia akan menjerit sahaja. Bagaimanapun ini keadaan yang lain.

"Minah!! Buka lah pintu."

Kedengaran satu suara yang cukup dikenalinya dari luar.

"Farra..." Aminah segera berlari mendekati pintu itu dengan wajah penuh harapan. "Farra! Kau ke tu?"

"Tak lah. Dinding yang bercakap ni." balas Farra dari luar. Kedengaran nada menyampah dari suaranya. "Aku lah ni!!"

Aminah segera membuka pintu itu. Dia menarik nafas lega apabila melihat Farra tercegat di muka pintu sambil memandangnya dengan dahi berkerut.

"Kau ni kenapa?" Farra memandang Aminah yang tercungap-cungap seperti baru lepas berlari. "Kau training dalam bilik ni ke? Bergelap pula tu." Dia baru sahaja tersedar dengan keadaan bilik yang gelap itu. "Kau ingat romantik ke?"

"Elektrik terputus lah. Bukan aku saja-saja tutup lampu." beritahu Aminah sambil menggolekkan bebola matanya.

Farra memandang koridor yang terang-benderang itu dengan wajah yang masih berkerut. Dia melangkah masuk kemudian menekan suis lampu bilik itu. Lampu terpasang tanpa ada sebarang masalah.

Aminah membesarkan matanya. "Serius aku cakap... Memang terpadam tadi. Aku tak tahu macam mana boleh suis tu tertutup."

Farra menutup pintu bilik Aminah. "Kau tak mengigau ke ni?"

Aminah tidak membalas. Dia cuba mengingati apa yang baru sahaja dialaminya sebentar tadi. Dia yakin. Semua itu benar-benar berlaku dan bukannya mimpi. Tapi dia sendiri tidak dapat menerangkannya.

SALAH NOMBOR (Buku 2) ?Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang