Assalamualaikum wbt… Saya, Cähäyä Yäng Utämä. Kali ni Cähäyä nak ceritakan tentang kejadian pada tahun 2018 lepas. Masih segar diingatan. Untuk kisah yang lepas, Cähäyä minta maaf, ada beberapa kesalahan ejaan. Cähäyä betul-betul tak perasan ‘guru asramaku’ tu ditaip menjadi ‘guru asmaraku’. Tergelak besar Cähäyä tatkala terbaca komen kalian di FB dan link url, baca balik baru perasan lepas tu. Malu i tau.. Hahaha.. Apa pun terima kasih atas teguran.. Jom kita mulakan kisah yang baru..
**
Pagi Sabtu tu, aku duduk di rumah, melepak di katil dengan suami dan anak sulungku. Bahagian perut yang semakin besar buatkan aku tak mampu berdiri lama, baring pun tak boleh lama, kerana kandunganku mencecah usia 8 bulan. Aku berkira- kira untuk memasak nasi lauk sardin dan telur dadar tengahari itu. Sudah lama tidak makan lauk macam tu. Maklumlah alahan agak teruk sebelumnya. Lepas kandunganku mencecah 6 bulan, baru hilang muntah-muntah..
Jam 11 pagi, suamiku bawa anak sulungku menaiki motor, mereka ke kedai membeli bahan memasak yang aku pesan. Tinggal aku seorang diri. Lepas menghantar pemergian mereka dengan lambaianku di tingkap bilik, aku kembali duduk bersandar di katil. Aku teguk sedikit air kosong yang sentiasa aku bekalkan di dalam botol dan ku letakkan di sisi katil. Sunyi rumah sewaku ini. Maklumlah, jiran pun ada dua keluarga sahaja. Satu keluarga sewa di rumah yang berhadapan dengan rumahku, satu lagi di sebelah kanan rumahku. Waktu cuti begini biasanya mereka tiada di rumah.
Rumah sewa kami adalah rumah semi-D saiz banglo milik seorang Dato’. Rumah ini dibina beberapa buah untuk memeriahkan rumah inap (challet) yang sudah dibina sebelum ini, kerana tempat ini terpencil. Kedudukannya tersorok dari kawasan rumah orang lain di kampung itu. Ia terletak betul-betul di hadapan muara. Hendak ke sini, perlu redah hutan. Walaupun sudah ada jalan berturap di sini, orang luar tetap tidak tahu bahawa ada rumah di sebalik hutan tersebut. Malah abang posmen pun selalu telefon aku kerana tidak tahu hendak hantar barangku di mana. “Betul ke ada rumah kat situ? Saya tak pernah pun pergi hantar barang kat situ selama ni”, selalu soalan ini yang akan abang posmen tanya padaku sewaktu mereka telefon. Betapa terpencilnya kawasan ini.
Sedang ralit membaca novel, kedengaran pintu rumahku dibuka kuncinya dari luar dan televisyen terpasang. ‘Mereka dah pulang, ni tentu anak nak tengok tv tu’, bisik hati kecilku. Aku menunggu sahaja suamiku masuk ke bilik selepas dia bukakan televisyen untuk anakku. Memang begitulah waktu mengandung ini, malas bergerak banyak.
Pintu bilik terbuka, terjengul kepala suamiku dari celah pintu bilik itu. Aku lambai kepadanya, mengajaknya berehat di sebelahku, buku novel ku tutup dan ku letak di sisiku. Aku rendahkan baringanku dan suamiku pun berbaring di sebelahku sambil mengiring menghadap aku, ada ruang yang agak lebar antara kami, selalunya sengaja kami berbuat begitu untuk anak sulungku datang berbaring seketika nanti, manja orangnya.. Disebabkan mataku ini rabun teruk, aku tidak nampak jelas wajah suamiku, cuma nampak dia seakan senyum… Aku mula tertarik dengan senyumannya, sudah pasti ada cerita hendak disampaikan kepadaku, lalu ku cuba mengiring untuk melihat jelas wajahnya. Sementara aku mengambil masa untuk mengiring, aku menghadap ke syiling rumah terlebih dahulu, menjemput sekerat dua nafas masuk dahulu ke dalam rongga pernafasan.
” B, macam mana anak naik motor? Suka tak dia?”, soalku, mulakan bicara. Nafas yang masih berat menyusahkan aku untuk mengiring, tapi aku boleh melirik dengan mataku, melihat suamiku walaupun kabur pandangan. Suamiku hanya diam dan tersenyum melihatku, tiada jawapan darinya. Dalam hatiku, suamiku ini tengah merencanakan sesuatu, sebab itu dia membisu. “Barang dapur yang yayang (aku) pesan semua ada ke b?” soalku lagi, dan dia masih diam, hanya tangan bergerak diletakkan pada dahinya, matanya masih melihat aku. ‘Nak kene ni.. Main-main betul dia ni’ gumam hatiku… Aku tersenyum lalu ku cuba lagi bergerak ingin menghadap mukanya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Koleksi Fiksyen Shasha
HorrorYou locked your doors and windows to prevent me from entering. Too bad i'm already inside. Peminat fiksyen shasha ? Tempat yang betul ?? Hati hati nanti tak dapat tidur malam kekekekekeke Seram tak seram bacalah dulu MUAHAHAHAAHAHA Credit to some...