Volkswagen Passat di parkir sedikit jauh sebelum Ayra keluar dari perut kereta. Ayra tersenyum tipis memandang ke arah wanita yang berdiri di hadapan pagar sebuah rumah satu tingkat itu.
"Assalamualaikum... Maaf puan, saya lambat sikit." Ayra menghulur tangan, bersalaman dengan wanita yang mungkin sebaya dengan alongnya.
"Waalaikumussalam. Eh, tak apa. Akak faham awak belum biasa lagi dengan jalan kat Johor ni. Jom masuk, kita tengok dalam rumah." Ramah Haziqah membalas. Wanita itu merupakan pemilik rumah teres satu tingkat itu. Rumah yang akan menjadi kediaman baru Ayra.
"Puan duduk kat mana?" Soal Ayra sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam rumah itu.
Buka saja pintu rumah terus nampak ruang tamu. Ruang dapur pula dipisahkan dengan kabinet kecil. Sebelah kiri mereka ada dua buah bilik dan satu bilik air. Siap dengan segala perabot dan kelengkapan rumah. Syukur. Tidak besar tapi cukup lah untuk dia seorang saja dan anak yang bakal lahir nanti.
"Apa pula puan-puan bagai. Macam kat pejabat kerajaan pula rasanya." Seloroh Haziqah. Ayra tawa kecil. Terhibur dengan kata-kata wanita itu.
"Akak duduk taman sebelah ni je. Anak-anak makin bertambah, kena lah cari rumah yang selesa untuk dia orang membesar." Ujar Haziqah. Taman perumahan yang dia duduk sekarang lebih besar dari rumah teres satu tingkat ini.
Ayra mengangguk kepala. Dia melangkah ke arah pintu dapur pula. Wah! Ada ruang mendobi, penyidai dan mesin basuh.
"Bahagian laundry ni suami akak baru sangat buat, dia suka buat kerja-kerja DIY macam ni bila cuti kerja. Biasanya orang perempuan yang sesat masuk kedai Eco kan? Haa.. situasi akak terbalik. Dia yang tak jumpa jalan keluar kalau masuk sana." Ujar Haziqah panjang lebar. Mengekek Ayra ketawa geli hati. Bersungguh-sungguh Haziqah meluah perasaan. Pasti suami wanita ini seorang yang bertanggungjawab orangnya.
"Barang-barang semua akak dah siapkan sebab sebelum ni akak buat homestay. Rezeki awak lah, tinggal cuci kaki je." Tambah Haziqah. Bersinar-sinar mata Ayra memandang ke arah Haziqah.
"Alhamdulillah, terima kasih sangat-sangat akak. Saya memang berkenan dengan rumah ni. Kira jadi lah ya." Lembut tutur kata Ayra. Haziqah berkenan betul dengan Ayra. Raut wajah Ayra yang lembut tak jemu matanya memandang.
"Boleh... Tapi rental agreement belum ada tau. Akak akan usahakan secepat mungkin. Ayra bujang lagi ke?" Soal Haziqah berhati-hati.
Ayra gigit isi dalam pipi. Kalau dia beritahu dah kahwin, apa pula tanggapan Haziqah. Kalau cakap belum kahwin, berdosa. Benda macam tu tak boleh dibuat main.
"Saya dah kahwin, akak." Ayra tersenyum kekok. Haziqah tidak berniat untuk meneruskan pertanyaan lagi. Seperti dapat meneka isi fikiran Ayra.
"Akak balik dulu. Ayra berehat lah, mesti penat dari KL ke sini. Atas meja tu akak ada bawa sarapan sikit. Nanti makan ya." Pesan Haziqah sambil mengusap lembut bahu Ayra. Haziqah keluar ke halaman rumah sebelum Ayra mengekori dari belakang.
"Allahu, kenapa susah-susah sediakan sarapan pula. Segan Ayra." Tersengih Ayra. Rasa terharu dengan kebaikan Haziqah.
"Ish, nak segan apa. Setakat mi bandung, itu pun suami akak beli kat warung Wak Oden depan taman sana hah." Kata Haziqah. Tambah pula hari ahad begini, anak-anaknya semua ke sekolah. Dapat lah dia keluar berdua dengan si suami.

ANDA SEDANG MEMBACA
????'? ?????? | C
Romance(2?? ?????? ?? ????'?) Ayra Alyssa mengharapkan sebuah perkahwinan yang bahagia bersama Noah Iskandar. Dia percaya Noah mampu menjadi pelindung terbaik seperti walid dan dua abangnya yang menjaganya dengan penuh kasih sayang. Bagi Noa...