AYRA terjaga bila matanya terkena pantulan cahaya matahari yang masuk dari celahan langsir. Kemudian dia melemparkan pandangan di sisi, tilam itu kosong. Bilik tidur juga sunyi.
Biasanya pagi begini bising dengan suara Noah dan Nayden. Eh... kejap, jangan cakap Noah larikan Nayden dari dia disebabkan hal petang semalam. Kalau lelaki itu bawa Nayden pergi luar negara macam mana? Atau Noah nak sorokkan Nayden dari dia. Ish! Dia terlalu paranoid terhadap lelaki itu.
Terkocoh-kocoh Ayra turun dari katil dan menapak ke tingkap bilik. Langsir diselak seluas-luasnya, pandangan ditebarkan ke luar tingkap. Kereta Ayra masih ada di halaman rumah. Telefon bimbit di atas meja solek diambil sebelum matanya tertancap pada sekeping nota kecil.
'Abang bawa Nayden keluar kejap. I love you, Sleeping Beauty.'
Nota itu direnyukkan dan dicampak ke dalam bakul sampah yang berada di bawah meja solek. Usai membersihkan diri, Ayra terus melangkah turun ke bawah.
Panjang leher Ayra tercari-cari ahli keluarganya yang lain. Kelihatan semua orang tengah sibuk mengemas di luar rumah. Dia saja yang baru bangun tidur. Bagus Ayra.
"Mama? Mama tahu tak pukul berapa Noah bawa Nayden keluar?" Tanya Ayra sebaik saja masuk ke dapur. Puan Hafizah segera berpaling melihat Ayra yang duduk di kerusi meja makan.
"Rasanya pukul lapan lebih tadi kot. Noah cakap Ayra tak sihat. Kamu sakit ke?" Soal Puan Hafizah pula sambil tangan bergerak mengacau tumisan di dalam periuk.
Berkerut kening Ayra. Hatinya yang tengah sakit sekarang ini sebab Noah suka-suka saja bawa Nayden keluar tanpa kebenaran dia. Jam dinding dikerling, hampir tiga jam dan Noah masih belum balik lagi.
"Dia keluar naik apa? Niaz datang ambil ke?" Ayra mula gusar. Selagi tak nampak muka Nayden, rasa tak tenang hatinya.
"Taklah... Awal pagi Lutfil datang hantarkan kereta dia. Kamu telefonlah dia, tanya ada kat mana. Noah tak ada bagi tahu ke yang dia nak bawa Aldric keluar?" Tanya Puan Hafizah. Ayra membisu. Soalan itu seperti angin lalu yang menyapa pendengarannya.
——
NOAH melangkah masuk ke dalam rumah setelah memberi salam. Sebelah tangannya menjinjit beg kertas sambil sebelah tangan lagi mendukung Nayden.
Meletus tawa kecil Noah melihat anaknya terkedek-kedek berlari ke ruang tamu. Mana tidaknya, si kecil itu baring tertiarap di atas karpet bersebelahan Aleena yang sedang menonton televisyen. Macam penat sangat.
"Pak su pergi mana tadi? Kenapa mak su tak ikut sekali?" Becok mulut Aleena bertanya. Bebola matanya turut bergerak mengikut pergerakan Noah yang duduk bersila di sisi Nayden.
Noah menggaru hujung kening. Mentang-mentanglah anak polis, bukan main dia punya soal siasat ya.
"Pak su bawa adik baby pergi taman. Mak su ada kat mana?"
"Ada kat dapur dengan nenek. Mak su tengah marah kat pak su ke? Muka mummy pun macam tu bila marah daddy. Aleena tak sukalah tengok muka mak su macam tu, nampak macam muka guru besar dalam cerita Upin & Ipin." Beritahu Aleena dengan suara yang rendah. Siap dengan gaya mengajuk lagi.
Noah ketawa besar. Atas kepala Aleena diusap lembut. Ini kalau Ayra dengar mahu setahun isterinya merajuk.
"Nayden jangan lupa pasal plan kita tadi, okay." Noah berbisik halus di tepi telinga Nayden. Mengekek Nayden ketawa menampakkan barisan gigi yang hampir tumbuh sepenuhnya.

ANDA SEDANG MEMBACA
????'? ?????? | C
Romance(2?? ?????? ?? ????'?) Ayra Alyssa mengharapkan sebuah perkahwinan yang bahagia bersama Noah Iskandar. Dia percaya Noah mampu menjadi pelindung terbaik seperti walid dan dua abangnya yang menjaganya dengan penuh kasih sayang. Bagi Noa...