抖阴社区

                                        

Pecah lagi tawa Ayra. Murah pula senyuman dan ketawa dari ulas bibir Ayra bila berada di sisi Haziqah. Padahal mereka baru saja berjumpa, tapi Ayra mula rasa selesa dengan wanita itu.

——

SIAP mengemas pakaian masuk ke dalam almari, Ayra merebahkan diri atas tilam bersaiz Queen itu pula. Tubuh ditegakkan semula. Sehelai kemeja putih yang elok tergantung, diambil dan dibawa ke hidung. Ayra berusaha menahan air matanya dari gugur. Sabar Ayra.

Ayra merenung ke arah tiga bilah kipas siling saling mengejar dalam bulatan. Sama seperti dirinya bermain kejar-kejar yang tiada hujung dan tidak akan tamat. Nafas dihela panjang. Tidak mahu lagi mengikut rentak perasaan sedih dan kecewa.

Pukul dua pagi Ayra terjaga dari tidurnya. Sebelah kakinya kejang gara-gara tergantung di birai katil. Penat sangat sehingga terlelap dengan posisi tidur yang tidak betul. Minyak angin pula jauh di atas meja solek. Menangis saja lah Ayra mampu sambil melayan rasa sakit itu.

Apabila kian berkurangan kejang kakinya, Ayra bangun mengambil wuduk untuk menunaikan solat sunat. Sekarang ini mungkin Ayra tiada bahu untuk menangis tetapi dia lupa ada tanah yang sentiasa menanti untuk dia sujud meluahkan segala cerita.

Keheningan malam yang menenangkan fikiran dan mendamaikan perasaan menambahkan lagi rasa pilu. Bacaan yang awalnya tenang makin tersangkut-sangkut. Di sujud akhir, Ayra tidak dapat menahan tangisannya lagi. Air mata mula mengganas sehingga membasahi telekung.

Selesai memberi salam, Ayra menyapu wajahnya. Tertunduk rapat kepalanya menekur hujung sejadah. Ayra sedar akan khilafnya. Terlalu mencintai manusia lebih dari Pencipta-Nya.

"Ya Tuhan ku, jika ujian ini adalah kehendak-Mu, maka aku rela menerima ujian ini sebagai peringatan kerana terlalu leka mencintai manusia secara berlebihan. Sehingga aku terlupa tidak ada cinta yang lebih besar selain cinta kepada Allah dan Rasul. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, kau hilangkan rasa kebencian dari hatiku. Kebencian dan dendam tidak layak hadir dalam hatiku. Apalagi perasaan itu tertuju pada suamiku sendiri. Sesungguhnya, Engkau adalah Zat Yang Mahakuasa untuk membolak-balikkan hati setiap manusia. Ampunkan aku, Ya Allah, kerana meletakkan rasa yang terlalu tinggi kepada seorang lelaki hingga akhirnya memakan diriku sendiri. Ya Allah, lapangkanlah segala kesulitan yang aku hadapi ini, keluarkanlah aku dari kesulitan ini Ya Allah."

Mulai saat ini Ayra akan belajar menerima apa jua keadaan tanpa membenci kenyataan. Itu adalah azam baru seorang Ayra Alyssa.

——

KEESOKAN hari, Ayra pergi ke Mid Valley Southkey yang terletak di pusat bandar Johor Bahru. Perkara pertama yang dia ingin lakukan adalah menukar telefon bimbit dan nombor telefon baru.

Kemudian Ayra melangkah masuk ke Village Grocer. Dia nak beli barang dapur pula. Ayra menolak perlahan troli pasaraya sambil mata melilau melihat kawasan sekitar.

"Barang basah kita ambil sebelum balik, nanti berair pula." Gumam Ayra perlahan. Sedikit demi sedikit, tahu-tahu penuh juga satu troli itu. Erk? Bahaya kalau lama-lama duduk bahagian makanan ni.

"Nak buat kenduri doa selamat ke tu?" Tegur satu suara garau dari arah belakang. Laju kepala Ayra menoleh mencari tuan empunya suara itu.

Melebar senyuman menghiasi bibir merah jambu Ayra. Tidak percaya setelah hampir sepuluh tahun, dia dipertemukan semula dengan lelaki ini. Patut ke Ayra sujud syukur sekarang?

"YB?"

"Ya, saya."

"Awak buat apa kat sini?" Soal Ayra. Terjengah-jengah kepala Ayra seakan mencari sesuatu di belakang lelaki itu.

"Salah soalan awak tanya tu. Saya datang sini mestilah nak beli barang dapur. Takkan cari jodoh pula." Seloroh Lee. Kedua tangan Lee menolak troli Ayra yang dipenuhi barang. Berat.

Ayra mencebik bibir. Lee masih sama seperti dulu. Kuat menyakat Ayra sejak mereka sekolah menegah lagi.

"Mana barang-barang awak? Datang sendiri aje ke?" Berkerut kening Ayra. Tak nampak pun Lee pegang bakul atau troli.

"Woah, hold on ma'am. Awak excited sangat ke jumpa saya?" usik Lee lagi.

Merona merah pipi mulus Ayra. Bukan apa, kalau sudah beristeri tak elok pula isteri Lee nampak mereka. Eh? Tapi Ayra pun masih bersuami lagi. Lupa ingatan ke Ayra oi... Pecah tawa besar Lee. Comel.

"Saya ni tinggal seorang diri, Ayra. Nak beli banyak-banyak buat apa? Membazir aje kalau expired."

"Kahwinlah, YB. Baru ada orang jaga makan pakai awak tu." Balas Ayra. Matanya fokus memilih bawang merah.

Lee tarik satu plastik kecil di atas bakul bawang itu lalu disua pada Ayra.

"Ada jodoh kahwinlah saya ni. Ada nak beli apa-apa lagi ke?" Lee segera tukar topik. Tersenyum tipis dia pandang wajah cantik Ayra yang berkerut-kerut memikirkan sesuatu.

Lantas, Lee mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar jeans. Pesanan ringkas dihantar melalui aplikasi WhatsApp.

Lee YB: Found her. Safe and sound. Don't worry. :)
Inara: Please take care of her. I'm counting on you, YB!

Kalah juga Lee pada rayuan Inara semalam. Berulang kali wanita itu menganggu Lee tanpa henti supaya mencari tahu dimana keberadaan Ayra. Dengan menggunakan kelebihannya sebagai anggota khas, dapat juga dia menjejaki Ayra melalui telefon bimbit Ayra.





Yeay abang Lee kita dah muncul ❤️🫶🏻

????'? ?????? | CTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang