抖阴社区

3

49 10 5
                                        

A/N : Hambar sikit. Tapi halal je la eh? Hehe.

...

LAYAR langit yang membiru bersama kepulan awan yang sedikit mendung menjadi tatapan matanya sepanjang roda berputar memecah kesibukan trafik. Tatkala suara Waze memberitahu destinasi yang dituju semakin hampir, nafas panjang dihela.

Nervous!

15 minit kemudian, kelibat binaan tinggi dengan pintu gerbang bertulis Mimpi Loka Hotel and Suites menyapa pandangan. Kereta berhenti di hadapan pintu masuk utama.

"Berapa?"

"RM 28.00, cik."

Tiga keping not merah dihulurkannya.

"Baki simpan. Terima kasih ya, encik."

Hilang kelibat Encik GrabCar bersama keretanya, langkah kaki diatur menghampiri pintu kaca tinggi dengan tipografi ML di tengah-tengahnya. Pintu kaca automatik itu terbuka dan serta merta angin dari penyaman udara menyapa kulitnya.

Sepanjang perjalanan ke meja penyambut tetamu, matanya tak putus memerhati hiasan dalaman lobi hotel. Klasik dan ada unsur tradisional, tapi tak kurang mewah dan elegannya. Tak hairanlah mengapa rangkaian hotel milik warga tempatan ini agak masyhur seperti mana yang dia dengar sebelum ini.

Cuma kali ini, suasananya agak lengang. Mungkin sebab sekarang bukan musim cuti sekolah, jadi yang ada pun cuma kelibat beberapa orang yang lengkap berpakaian formal, berkemungkinan berada di sini atas urusan kerja.

"Selamat pagi," sapanya pada si penyambut tetamu yang kemas beruniform.

"Selamat pagi, cik. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" Gadis penyambut tetamu itu menyambut mesra kehadirannya. Yahaira senyum manis.

"Saya datang untuk temuduga pembantu dapur La Malaya."

"Oh, La Malaya." Gadis itu menekan-nekan papan kekunci di hadapannya.

"Cik Nur Yahaira?" soalnya meminta kepastian. Yahaira mengangguk sekali.

"Baik. Cik boleh ambil lif sebelah kanan, terus ke tingkat tiga. Temuduga akan dijalankan di Bilik Angsana, ada staf yang akan tunjukkan arahnya nanti." Lurus tangannya menuding ke arah lif di sebelah kanan kaunter. Yahaira mengangguk seraya mengukir senyuman.

"Okey, terima kasih ya."

Butang anak panah menghala ke atas ditekan. Tak sampai beberapa saat, pintu lif terbuka lalu dia meloloskan diri ke dalam. Angka tiga ditekan. Baru pintu lif hendak tertutup, sebatang tubuh yang tiba-tiba menyelit masuk mengejutkan seluruh urat sarafnya.

Fuh, laju macam pelesit!

"Sempat!" Bisikan itu membuatkan Yahaira menoleh ke sisi. Satu pandangan maha pelik dihadiahkan buat jejaka yang sedang tercungap-cungap mencari nafas itu.

Dah siapa pula mamat ni?

Tatkala pandangan mata mereka bertembung, nampak garis bibir itu menarik senyuman canggung.

"Sorry, nak cepat. Nak tahan takut tak sempat," ujarnya. Tak tahu mahu membalas apa, hanya sebuah anggukan diberikan sebagai balasan.

Sunyi. Yahaira lebih senang memandang ke arah pintu yang tertutup rapat. Bauan minyak wangi lelaki yang menusuk ke mukusnya buat dia rasa terganggu seketika. Bukannya busuk, masalahnya terlalu wangi!

"Interview ke?" Suara yang menyoal itu menerjah koklea, dan sekali lagi dia cuma mengangguk bisu tanpa balasan.

"La Malaya?"

Angguk lagi.

"Good luck, saya dengar pemilik La Malaya tu cerewet." Jejaka itu mengujar lagi. Kali ini, air liurnya terteguk spontan. Alahai mamat ni, dahlah sesat entah dari mana, tiba-tiba nak takutkan dia pula!

Her Protective Guy [ongoing]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang