抖阴社区

Bab 30

229 23 2
                                        

Tengku Rayyan berdiri tegak di koridor hospital, matanya tidak lepas dari pintu bilik pembedahan yang tertutup rapat. Setiap detik yang berlalu terasa seperti satu penyeksaan. Jantungnya berdegup kencang, dada terasa sempit.

Pintu bilik terbuka perlahan. Dr. Nurul melangkah keluar dengan wajah serius dan mata yang jelas menyimpan simpati. Tengku Rayyan segera mendekat.

"Doktor... macam mana keadaan isteri saya? Macam mana dengan kandungan dia?"

Dr. Nurul menarik nafas perlahan. Wajahnya tenang, tapi jelas ada sesuatu yang berat ingin disampaikan.

"Encik Rayyan, saya minta maaf..." Suaranya lembut, namun setiap perkataan bagaikan pisau yang menghiris di dada.

Tengku Rayyan menahan nafas.

"Apa maksud doktor?"

"Kami cuba sedaya upaya, tapi... kandungan Puan Haura tidak dapat diselamatkan. Kandungannya telah gugur."

Langit bagaikan runtuh menimpa bahu Tengku Rayyan. Dia terduduk perlahan di bangku berhampiran, wajahnya pucat.

Namun Dr. Nurul belum selesai di situ.

"Ada satu lagi perkara yang encik perlu tahu..." Dr. Nurul menyambung dengan hati-hati.

"Semasa pembedahan, kami dapati ada komplikasi dalaman yang serius. Usus Puan Haura telah pecah akibat tekanan berlebihan, mungkin disebabkan kontraksi yang terlalu kuat dan mendadak. Kami terpaksa membuang sebahagian usus yang rosak."

Tengku Rayyan mendongak, matanya berkaca.

"Apa maksud doktor?"

"Kemungkinan besar... Puan Haura tidak akan dapat mengandung lagi selepas ini. Keadaannya terlalu berisiko."

Sunyi.

Seolah-olah seluruh dunia terhenti buat seketika. Tengku Rayyan menunduk, tangan menekup wajah. Hatinya hancur luluh.

Masa berlalu terlalu pantas. Terasa seperti baru semalam senyuman terukir di wajah mereka saat mengetahui tentang kehamilan itu. Saat harapan dibina, saat impian mula dirangka. Tapi hari ini... semuanya hilang dalam sekelip mata. Yang tinggal cuma sepi, luka dan kehilangan yang tak mampu diungkapkan dengan kata-kata.

"Sekali lagi, saya minta maaf." Dr. Nurul melangkah perlahan meninggalkan ruang itu, memberi Tengku Rayyan ruang untuk menghadam berita yang merobek jiwanya.



Cahaya putih menyilaukan mata. Bau ubat-ubatan memenuhi rongga hidung membuatkan Haura pelik dengan persekitaran yang asing. Perlahan-lahan, kelopak matanya terbuka. Nafasnya berat dan dada terasa sesak.

Dia cuba bergerak, tetapi seluruh tubuhnya terasa lemah, seolah-olah tiada lagi kekuatan. Ada tiub yang tertanam di tangan, dan mesin berdetik perlahan di sebelahnya, menandakan detik-detik yang terus berlalu.

"Sayang..." suara Tengku Rayyan kedengaran, memecah keheningan, penuh dengan rasa lega dan cemas. Haura dapat merasakan genggaman tangan suaminya, erat, seolah-olah takut dia akan hilang sekali lagi.

Tengku Rayyan menyandarkan tubuhnya pada kerusi, namun pandangannya tidak lepas dari wajah Haura.

"Kejap, aku panggil doktor," katanya, suaranya serak dengan emosi yang sukar dibendung.

Tengku Rayyan berdiri, wajahnya masih cerah dengan ketegangan yang jelas. Dia menggenggam tangan Haura satu saat lagi, seakan tak ingin melepaskannya. Lalu, dengan langkah cepat, dia keluar dari bilik itu dan berjalan menuju kaunter.

"Doktor! Doktor!" jeritnya dengan suara yang sedikit tenggelam, namun masih penuh dengan urgensi.

Seorang jururawat datang menghampiri, wajahnya kelihatan cemas.

Dalam Luka Ada KamuTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang