SEMINGGU telah berlalu sejak kejadian di rumah walid tempoh hari. Keadaan mereka berdua masih sama. Tidak banyak yang berubah.
Patah perkataan yang keluar dari ulas bibir Noah juga makin terhad. Sepatah dia tanya, hampir negatif... kosong tanpa jawapan yang diberikan Noah.
Cuti hujung minggu begini pun lelaki itu lebih sanggup menghabiskan masanya berada di pejabat dari berduaan dengan isteri sendiri. Sudah pukul sembilan malam masih belum pulang ke rumah.
Bila terfikirkan lauk tengah hari tadi masih belum terusik, dipanaskan semula untuk dijadikan makan malam mereka. Atau bakal menjadi santapan perut tong sampah pada keesokan pagi?
Ayra mengeluh lagi. Sepanjang satu bulan menjadi isteri kepada Noah Iskandar, tidak terhitung keluhan dari bibirnya.
Ayra cuba mencari sesuatu yang boleh dilakukan supaya dapat melupakan seketika masalah yang bersesak di dalam kepalanya. Selepas mencongak dan menghitung, dia memutuskan untuk mengemas bilik stor yang terletak berdekatan dengan dapur.
Daun pintu itu ditolak perlahan dari luar. Mata Ayra memerhati segenap ruang bilik sederhana besar itu sebelum melangkah masuk.
"Tersusun elok je, nak kemas apanya?" Gumam Ayra sendirian. Jari runcingnya mengesat atas permukaan perabot. Berhabuk! Boleh lah dari tak ada kerja langsung. Tanpa buang waktu, Ayra keluar seketika untuk mengambil kain bersih dan air sabun.
"Ouch!" Ayra mengerang kesakitan tatkala betisnya terlanggar bucu kotak di atas lantai. Kedua tangan Ayra menolak kuat kotak itu supaya rapat ke dinding. Oleh kerana penutup kotak itu terbuka, dia menjengah sedikit untuk melihat isi di dalamnya. Ada beberapa album gambar dan buku bacaan. Pasti milik Noah.
Atas rasa ingin tahu yang mencanak tinggi, tangan Ayra mencapai sebuah album gambar. Dikeluarkan dari kotak dengan berhati-hati. Beberapa keping gambar terkeluar dari celahan album itu lalu jatuh di atas kaki Ayra. Kaku. Kosong. Dunia seakan berhenti berputar.
Zap! Jantung Ayra seperti direnggut kasar dari tubuhnya. Rasa kecewa Ayra menjunam ke paras yang terlalu parah. Allahu! Dugaaan apa lagi yang kau telah persiapkan untuk diriku ini, Ya Allah...
Juraian air mata mengalir lalu meleleh di lurah pipinya tanpa sempat ditahan. Terketar-ketar tangan Ayra mengutip kepingan gambar itu di atas lantai. Bibir bawah digigit sekuat hati supaya esakan tangisan tidak kuat.
"Ayra..." Laung Noah dari luar bilik. Mencari susuk tubuh Ayra. Pantas Noah merampas gambar itu dari tangan Ayra. Pergelangan tangan isterinya ditarik kasar supaya keluar dari situ sebelum pintu dihempas kuat.
"Siapa izinkan kau masuk dalam bilik tu Ayra? Kan aku dah pesan jangan masuk!" Meninggi suara garau itu. Tegang urat leher Noah disebalik kolar kemeja hitamnya.
Entah dari mana datang kekuatan Ayra untuk menentang mata biru Noah. Sedikit pun dia tidak gentar walau pandangannya dikaburi air mata. Nafas ditahan beberapa saat. Memohon pada hatinya untuk bertenang seketika meskipun perit.
"Kenapa abang tipu Ayra? Abang cakap tak kenal Atilla. Apa semua ni? Gambar-gambar mesra tu semua gambar palsu ke?" Soal Ayra lancar. Nada suaranya tidak tinggi dan tidak juga datar.
"Kau tak perlu masuk campur urusan hidup aku." Cantas Noah. Terkedu Ayra. Panggilannya juga telah berubah. Kenapa perlu secepat ini? Ya Allah, dia belum bersedia.
"Ayra ni siapa pada abang? Dalam perhubungan, kita memerlukan kejujuran. Apa guna berkahwin kalau tak ada kejujuran abang? Cerita semua pada Ayra, Ayra tak akan marah abang atau Atilla." Ayra tetap memujuk Noah sedangkan dirinya sendiri sudah hancur berkeping.
"Kau memang sejenis tak faham bahasa kan, Ayra? Rimas aku tengok perangai suka mendesak kau ni." Berlaga kuat gigi atas dan bawahnya menahan rasa. Pandangannya juga kosong. Tidak tahu reaksi sebagaimana harus dikeluarkan.
"Aku bukan walid, angah atau along yang sanggup melayan perangai manja kau."
"Ego abang terlalu tinggi. Lebih tinggi dari rasa cinta abang pada Ayra." Gumam Ayra di sebalik tangisan halus. Dia kalah lagi dengan air mata. Mudah betul manik jernih ini mengalir untuk Noah.
Sedikit sebanyak kata-kata Ayra menusuk jauh ke sanubari Noah. Hatinya rasa terpukul. Namun tangkas dia menepis segala bisikan itu dari fikirannya.
"Siapa cakap aku kahwin dengan kau sebab cinta?" Bibir mengoyak senyuman sinis. Kedua tangan naik mencengkam kuat bahu Ayra.
"Apa pula alasan abang kali ini?" Soal Ayra tenang. Apa pun jawapan lelaki itu, dia bersedia mendengar.
"Salahkan adik tiri kau yang tak guna tu. Kalau bukan sebab dia, aku takkan jadi macam ni! Hidup aku hancur, Ayra!"
"Disebabkan dia aku hidup dalam ketakutan, aku benci kau sebab dia tu ada kaitan dengan kau. Kalau Atilla tak ada kena mengena dengan kau, aku boleh terima kau dalam hidup aku!"
Ternaik kedua bahu Ayra gara-gara suara jerkahan Noah. Kolam mata yang baru kering kembali penuh dan melimpah.
"Jadi abang jatuhkan hukuman pada Ayra atas kesalahan orang lain? Mudahnya lafaz akad nikah yang keluar dari mulut abang." Kedua belah tangan Ayra meraih tangan Noah yang berada di bahunya lalu digenggam erat. Seakan tidak mahu melepaskan.
"Berulang kali pun Ayra tak akan lelah untuk ulang perkara yang sama. Ayra sanggup terima semua kisah silam abang. Masa lalu abang dengan Atilla dah lepas. Biarkan kenangan tu terkubur. Sekarang masa untuk kita berdua sama-sama melangkah ke hadapan." Ujar Ayra. Biar dia menjadi air jika Noah adalah api.
Terkunci rapat mulut Noah. Bagai disapu dengan gam kuat di bibirnya. Wajah pucat lesi wanita itu di pandang tidak berkedip.
"Ayra dah siapkan makan malam kalau abang sudi makan, makanlah. Kalau tak nak makan biar je, esok Ayra kemas." Senyuman manis dihadiahkan untuk suaminya. Tangan kanan Noah dicium penuh hormat kemudian beralih di kedua belah pipi lelaki itu pula. Sisa air mata yang terkena pada kulit pipi Noah diseka dengan jarinya.
Sekali lagi Noah terkedu. Tidak dapat berkata apa-apa kerana pegun. Sangkanya Ayra akan mengamuk atau marah. Bagaimana isterinya boleh setenang itu dan masih menghormati dirinya setelah mengetahui tentang hubungan antara dia dan Atilla?
"Abang... setiap orang ada perasaan untuk kita jaga, bukan menyakiti. Tak ada siapa pun pilih hidup menderita termasuk lah diri abang dan Ayra." Perlahan-lahan tangan lelaki itu dilepaskan sebelum Ayra berundur beberapa tapak.
"Shit! Shit!" Noah mula melempiaskan marahnya. Berderai pinggan kaca di atas meja pulau dilemparkan ke lantai dapur. Hanya itu yang mampu dia lakukan. Dibiarkan saja serpihan kaca itu di atas lantai. Langkah kaki diatur ke bilik tetamu.
Sila tinggalkan makian... eh bukan, sila tinggalkan vote korang untuk boost semangat saya. Terima kasih daun keladi, esok lusa datang lagi ❤️🩹