HAMPIR setengah jam aku duduk di kafe ini namun kelibat Humaira masih belum muncul lagi. Dek rasa rimas berseorangan di sini, aku mengoyangkan kaki atas lantai. Sebelah tangan menongkat pada pipi dan sebelah tangan lagi mengacau straw minuman dalam gelas. Berkocak Iced Spanish Latte itu.
Aku memang tak mahu menempah makanan lagi. Nak tunggu Humaira. Kalau aku menempah dulu dan makanan aku tiba sebelum Humaira, lebih baik aku bungkus dan makan di rumah sahaja. Humaira pun satu. Dari tadi tiada sebarang khabar daripada dia. Mesej dan panggilan pun tiada. Berbakul-bakul geram dalam hati aku ini.
Minta halal lah kalau kopi ais ini tercurah atas kepala dia. Perbaiki hubungan lah sangat. Puih!
Ting! Satu notifikasi masuk.
Telefon memang kebetulan tepi aku sahaja. Aku buka dan periksa kandungan mesejnya. Rahang sudah terketap menahan bahang dalam dada. Jika tidak memikirkan yang masih ada pelanggan dalam kafe ini, memang sudah lama aku menjerit nyaring sambil mulut berapi-api. Macam naga.
Humaira:
Nuri, sorry!
Aku rasa kena cancel lah.
Kau dah sampai sana ke?
Esok bole?Fuh. Nak mencarut tapi kena sabar.
Aku menghentak telefon di atas meja. Memang sudah tak fikir skrinnya bakal retak ke apa. Hati aku yang retak seribu ini siapa nak fikir? Tak ada! Tapak tangan sudah meraup sebelah wajah. Cuba menyabarkan diri daripada menyepak meja-meja yang berada di sini.
Humaira.. macam itu sahaja dia permainkan aku? Macam itu sahaja dia boleh batalkan. Tanpa serba salah? Selepas ini aku memang tidak akan kesal untuk kehilangan orang sepertinya.
Lebih baik aku seorang diri daripada menanggung sakit jiwa seperti ini. Aku silap. Silap kerana memikirkan yang Humaira lain daripada yang lain. Akan tetapi pada akhirnya, dia juga manusia biasa yang akan bosan denganku dan meninggalkan aku dalam keadaan menyedihkan seperti ini.
Tahniah.
Puas mengelamun sehingga tanpa sedar anak mata aku mendarat pada seorang lelaki berbaju t-shirt hitam dan sebuah paint apron tersarung di tubuhnya. Kepalanya tersarung cap berwarna nude yanh dipakai secara terbalik.
Apronnya sudah tercalit warna-warna air. Lelaki itu sedang mewarnai lukisan di satu sudut dinding dalam kafe ini. Corak doodle yang bertemakan kucing yang sedang membuat kopi. Lama aku merenungnya sehingga sisi wajahnya kelihatan. Tidak asing sekali.
Dee.
Dia sedang khusyuk meneliti lukisannya yang separuh berwarna itu. Hujung batang berus lukis diketuk pada dagunya kemudian dia mencelupkan sedikit warna merah jambu di atas pallete kemudian mula mencoretnya atas dinding.
Kawasan sekitarnya agak bersepah dengan satu kanvas biru sebagai lapik atas lantai. Di atasnya bersusun-susun tong cat pelbagai warna dan juga berus lukis. Tak lupa juga ada sebuah tangga pendek yang dia sering gunakan sebagai bangku duduk.
Mungkin sedar dirinya diperhatikan, Dee memusing tubuhnya menghadap aku. Mungkin sedar yang dia kenal wajahku, Dee melambai mesra. Bibirnya mengukir senyuman lebar sehingga menampakkan dua batang gigi taringnya.
Agaknya terlalu mendalam aku merenungnya sehingga sepasang lesung pipit yang dalam di pipinya pun aku boleh perasan. Ianya membuatkan roman wajahnya bertambah manis bila senyum. Ajaibnya, aku membalas lambaiannya.
Belum terhenti setakat itu sahaja. Dee pula melangkah ke arahku. Semakin dia rapat, semakin jelas pula wajah kuning langsatnya yang tercemar dengan percikan cat air.
"Hai, Nuri. Lama tak jumpa awak." Sapanya dengan mesra. Tanpa dijemput, dia melabuhkan punggung di kerusi hadapan aku.
Dee tanggalkan cap di kepala. Apron di tubuh pun sudah dia tanggalkan dan lipat cermat. Rambut kerinting nya yang serabai disikat dengan jari-jemarinya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Perfect Strings
Romance[Dee's Nuri] Nuri, si penulis. Dee si pelukis. Dia lelaki pertama yang membuatkan dunianya terasa berwarna-warni. Dia lelaki pertama yang membuatkan dia merasai apa itu rasanya cinta. Dia lelaki pertama yang berjaya buatkan dia rasa berada di awa...