Bila ingatannya kosong, susah untuk dia percayakan bicara orang. Ingatannya hilang secebis tapi rasa kehilangannya menghentam hati. Siapa sangka yang ingatan 7 bulannya berisi sejuta memori?
Matanya memandang ke arah bawah dari balik tingkap tingkat atas biliknya. Diperhatikan Yumna yang sedang bicara dengan Alia, isteri Aadyan. Awal pagi lagi Yumna sudah minta pamit kerana gadis itu harus bekerja.
Bibirnya senyum lebar memerhati gadis itu. Baru semalam Yumna berkenalan dengan Alia tapi lambaian pamit mereka seolah kenal lama. Disebabkan seronok sakan berbual dengan Yumna semalam, Alia siap bermalam di rumah Daniel.
Yumna buat orang selesa. Gadis itu buat orang jatuh hati bukan hanya kerana ramahnya bahkan pada budi bicaranya. Alunan suara Yumna seperti lagu, merdu dan sedap didengar.
Tak sampai satu hari mereka bertaut janji, Ezra pula rasa dilamun perasaan. Rasa tak percaya dia ucap semuanya semalam.
Dahi Ezra berkerut sedikit tatkala Daniel yang berada di bawah menunjuk ke arahnya. Tak lama, Yumna juga memandang ke arahnya. Gadis itu siap melambai dengan senyuman lebar terukir di bibir. Gamam Ezra tak tahu mahu beri reaksi apa.
Spontan Ezra tunduk malu. Ini pasti helah Daniel. Sengaja sungguh!
Ezra angkat kepala kembali. Yumna masih halakan pandangan ke arahnya. Baru Ezra mahu membalas lambaian Yumna, satu suara menghentikan gerak jejaka itu.
"Ehem!" seseorang berdehem.
Ezra palingkan kepala sebelum langsir ditarik untuk ditutup.
"Kenapa?" Soal Ezra melihat Aleeq sudah duduk di birai katil.
"Okay tak?"
Ezra pandang dirinya atas bawah. Nampak dia semakin teruk ke?
"Macam biasa. Masih duduk di kerusi roda" Jawab Ezra.
Aleeq angguk. Sebenarnya bukan itu tujuan dia ke sini. Dia mahu bertanya soal lain.
"Kau pasti dengan semua keputusan kau?" Soal Aleeq serius. Biarlah dia terus ke pangkal soalan. Tak usah bermain tali.
Ezra tolak kerusi roda sedikit ke belakang. Dia betulkan posisinya agar mata boleh memandang ke arah Aleeq.
"Kau tak setuju dengan tindakan aku?" Ezra pula menyoal kembali.
Aleeq geleng kepala. Dua tangannya sudah rehat di sisi dua belah badannya.
"Aku setuju. Aku nak menghalang pun tiada hak. Kau sendiri tahu risiko Ezra. Aku sudah agak perkara ni sudah lama. Aku tahu apapun jadi pada kau, kau akan tetap pilih Yumna. Boleh tahan degil juga kau ni sebenarnya." Aleeq lepas gelak kecil. Dia halang Ezra sekerasnya sebelum ini tapi Ezra masih berdegil mahu tetap bersama Yumna. Jejaka itu sudah hilang ingatan tentang Yumna, tapi takdir bawa mereka kembali bersama.
Kalau takdir saja bagi restu, siapa dia mahu ubah takdir itu.
Aleeq sedar kejadian semalam. Alia ceritakan semua pada dia. Bukan main gembira lagi Alia bila dapat tahu Yumna dan Ezra bersama. Katanya, tak sabar nak ada geng baru.
"Satu pesanan aku... kau bawa dia masuk dalam hidup kau, jadi lindungi dia Ezra. Kalau ada yang tahu perasaan kau pada dia, dia akan jadi perhatian orang-orang yang benci pada kau. Orang yang kita sayang, akan jadi titik kelemahan kita. Orang-orang yang bermain nyawa macam kita, kena lindungi pasangan kita juga dengan nyawa. Kalau kau leka, sama ada nyawa kau, nyawa dia atau nyawa kau berdua jadi taruhan." Mata Aleeq mencerlung tajam ke arah Ezra.
Ezra hadam semua bicara Aleeq. Dia faham semua bicara Aleeq. Sekali dia libatkan Yumna dalam hidup dia, nyawa Yumna juga dalam gengamannya. Kuatkah dia? Mampukah dia beri yang terbaik pada Yumna? Tak dapat Ezra bayangkan jika Yumna hancur sebab dia.

ANDA SEDANG MEMBACA
Ezakiel Ezra I : The Soulless Puppet
Non-FictionCERITA BERAT! (HIATUS!) "It was the hardest goodbye. Thank you mi alma" Ezakiel Ezra. Nama yang diberi oleh Ryan Stello kepada Carl Leo Pierre sebagai identiti barunya. Carl merupakan anak angkat di dalam keluarga Pierre. Satu keluarga yang memiliki...