SEPERTI yang dijanjikan semalam, mereka kini berada di rumah mama dan papa Sofea. Mujur lah Nek Peah dan atuk juga ada di rumah itu, kalau tak, nanti dua kerja pula kena balik kampung.
Sofea hanya diam sedari tadi. Dia berdebar dan menahan sebak. Mata bertentang dengan iris mata Hariz. Lelaki itu tersenyum nipis, meyakinkan Sofea. Jari-jemari isterinya digenggam kuat.
Bibir diketap. Mata dipejam seketika sebelum nafas dihela. Sofea kembali membuka matanya dan menentang mata mamanya. Sedaya-upaya dia menahan tangisan.
Dia rindu orang tua dan keluarganya, tapi hati dia sakit apabila teringat akan khianat yang ahli keluarganya lakukan. Dia masih tak boleh mencerna, bagaimana ahli keluarga boleh berlagak seperti tiada apa yang berlaku apabila melihat dia menangis di 'kubur' Hariz selama tiga tahun berturut-turut.
"Mama minta maaf ya, sayang? Mama tahu mama salah sebab tak bagitahu Pia, tapi mama cuma tak nak Pia cari Hariz sebab polis pun tak jumpa jasad Hariz masa tu. Maafkan mama," Puan Syera menunduk.
Betapa syukurnya dia rasakan saat melihat kehadiran anak bongsunya di muka pintu tadi setelah lebih sebulan dia langsung tak menerima khabar Sofea.
Sofea hanya menunduk sambil menggenggam tangan besar Hariz semakin erat. Hati dia cepat luluh, dia tak sanggup mendengar suara bergetar ibu yang melahirkannya memohon ampun dengan dia.
Dia tak layak. Dia pun bukan anak yang baik, dia cuma kecewa.
"Papa pun... minta maaf. Sepatutnya papa dah halang Pia daripada terus melawat kubur tu. Tapi papa tak buat."
"Aku yang salah, Pia. Aku yang takut kau jadi lebih gila bila tahu Hariz masih hidup. Aku yang halang semua orang bagitahu kau supaya kami semua boleh cari Hariz dalam diam aje." Nek Peah mencelah.
Dia melutut di hadapan Sofea dengan mata yang mula berkaca.
"Aku minta maaf, Pia. Aku jahat. Dari awal, memang aku yang jahat. Aku minta maaf,"
Semakin memberat tangisan Sofea. Dia tak sanggup lagi!
"Pia maafkan semua. Maafkan Pia juga sebab... terlalu ikutkan perasaan." Kalau dia terima takdir Tuhan atau dia lebih peka, pasti tiga tahun sebelum ini dia dapat melakukan sesuatu yang boleh buatkan dia bangga dengan diri sendiri.
Bukannya mempersoalkan takdir dan hidup di masa lalu.
"Assalamualaikum," suara lembut itu kedengaran. Semua mata mula memandang ke arah pintu.
Susuk Syahira kelihatan. Gadis itu baru pulang dari memilih cincin kahwin. Perkahwinannya akan berlangsung tak lama lagi. Sebenarnya, lama juga lah dalam sembilan bulan lebih lagi.
Tapi tak salah sediakan awal-awal, kan?
"P-Pia? H-Hariz?"
•••
SOFEA tersenyum lebar. Lengan Hariz dipaut dengan rasa girang. Kepala dilentokkan ke atas bahu suaminya bersama pandangan yang dilemparkan ke laut yang luas terbentang.
Ya, mereka di pantai belakang kafe Tiara lagi. Entah mengapa, Sofea rasa ingin sentiasa ke pantai. Rasa tenang melihat ciptaan Allah yang satu itu. Lagi-lagi bersama suaminya, Hariz Jibrail.
"Aunty Pia dah jadi mama Zen ke?" tanya Lazen yang baru saja muncul dengan air coklat kegemarannya.
Sofea senyum lantas mengangguk. Apa salahnya. Walaupun Lazen bukan anak Hariz, sekurang-kurangnya Lazen anak Luth. Kawan baiknya.

ANDA SEDANG MEMBACA
SOFEA
Romance[Completed] Sebuah sekuel Isteri Seorang Tentera. "Oh ya, ini suami I, Harraz." Pertemuan Sofea dengan suami Julia yang mirip dengan suaminya membuatkan dia tak senang duduk. Bukan sahaja wajah yang sama, rambut, mata, bentuk wajah, badan dan ketin...