Lokasi: Tapak Latihan Tertutup | Waktu: Awal Pagi
Seawal jam lima pagi, kawasan latihan rahsia di sebelah barat kem telah dibuka. Cuaca berkabus, dan bunyi cengkerik masih bersisa. Anggota-anggota terpilih telah diarahkan berkumpul secara sulit untuk taklimat operasi besar yang akan bermula dalam masa terdekat.
Taufiq dan Dayyan berdiri di hadapan satu papan strategi, lengkap berpakaian tempur. Di belakang mereka, terdapat 10 anggota elit PASKAL dan beberapa doktor sukarelawan termasuk Intan yang masih lengkap dalam uniform lapangan.
"Selamat pagi. Hari ini secara rasminya kita akan memulakan fasa latihan untuk 'Operasi Rahsia: BLACK CODE'." Taufiq membuka suara, wajah serius.
Dayyan menambah,"Misi ini bukan seperti misi-misi biasa. Ia melibatkan infiltrasi terhadap satu kawasan luar negara yang dipercayai menyembunyikan pusat pemindahan manusia secara haram - termasuk kanak-kanak dan wanita. Risiko tinggi. Tiada nama, tiada jejak. Sebab itu, kod operasi kita: BLACK CODE."
Semua mata menumpu pada mereka. "Pasukan sokongan perubatan akan dilatih khas untuk menyertai infiltration dan extraction. Kami perlukan doktor yang tahan fizikal dan tahan mental." tambah Dayyan sambil memandang ke arah Intan yang berdiri tegak.
Intan mengangguk perlahan.
"Apa bentuk latihan kita?" soal Zulkifli, salah seorang doktor lelaki. Taufiq senyum nipis.
"Kawad malam, navigasi darat dan laut, survival tanpa bekalan, penggunaan senjata api ringan, pengurusan kecemasan medan tempur. Siapa tak bersedia, boleh tarik diri sekarang."
Tiada yang berganjak. Dayyan berjalan perlahan ke hadapan mereka. "Satu pasukan kecil akan dipilih sebagai 'core team' untuk menyusup ke lokasi utama. Saya akan ketuai pasukan itu. Dan ya, Doktor Intan, nama awak ada dalam senarai pendek."
Beberapa pasang mata terus memandang ke arah Intan. "Saya takkan tarik diri, Tuan." jawab Intan lantang, suaranya tegas. "Bagus." Dayyan senyum nipis sambil mencatat dalam bukunya.
"Latihan akan bermula sekarang! BERGERAK SEKARANG!" arah Taufiq.
Latihan pertama - Navigasi Malam & Kawad Senyap
Doktor dan anggota dibahagi kepada beberapa kumpulan. Intan digandingkan bersama Harith, Zetty dan dua anggota PASKAL. Mereka diarahkan menyusup dari kawasan kem ke satu titik pertemuan rahsia dalam masa 90 minit, tanpa dikesan oleh pasukan pengesan lain.
"Kau bawa kompas ke GPS?" Harith bisik. "Aku bawa insting." jawab Intan, tersenyum sinis.
Sambil menyusuri belukar dan hutan kecil, suara Dayyan kedengaran dalam 'walkie' kecil di telinga mereka: "Kumpulan Intan, anda sedang dikesan. 20 minit untuk lari."
"Challenge accepted." Intan jawab dalam nada yakin.
Langkah-langkah mereka semakin laju, tetapi tetap senyap. Intan memimpin di hadapan, mengimbas setiap pergerakan daun, dahan dan bayang yang mencurigakan. Harith di belakangnya, memeriksa jejak dan sesekali mengangkat tangan memberi isyarat berhenti.
"Kiri. Ada pergerakan." Bisik salah seorang anggota PASKAL. Semua berhenti serta-merta, meniarap ke tanah.
Melalui celahan pohon, lampu suluh kecil bergoyang perlahan. Pasukan pengesan sedang meronda. Nafas Intan laju tapi terkawal. Telinganya fokus pada derap kaki. Apabila bunyi itu menjauh, dia memberi isyarat tangan untuk teruskan berjalan.
Selepas 15 minit yang penuh dengan halangan akar, parit kecil dan seekor ular yang hampir dipijak Harith, mereka tiba di kawasan berpaya cetek. Tiada jambatan, tiada laluan jelas. "Kita rentas sini?" Zetty berbisik.
Intan mengangguk. "Pasukan pengesan ada di belakang kita. Kita tak ada pilihan." Mereka mula meredah air. Sejuknya menggigil hingga ke tulang. Bunyi percikan cuba dikurangkan, tapi setiap gerakan tetap meninggalkan kesan. Tiba-tiba, suara Dayyan kedengaran lagi.
"Kumpulan Intan, masa tinggal 5 minit. Pasukan pengesan kini hanya 150 meter di belakang."
Intan mengangkat tangannya. "Kita split. Aku dan Harith pancing perhatian ke timur. Zetty dan yang lain ke titik perhubungan. Kod isyarat: tiga suluhan pendek."
Tanpa membuang masa, mereka berpecah. Intan dan Harith sengaja membuat jejak yang jelas, menghantar beberapa bunyi 'distraction'. Ia berhasil dan pasukan pengesan mula bergerak mengikut mereka.
Selepas 7 minit, satu cahaya kecil berkelip dari arah utara sebanyak tiga kali. Tanda titik perhubungan berjaya dicapai. Intan dan Harith akhirnya muncul semula dari arah berbeza, tercungap-cungap, pakaian kotor dan basah, tetapi mata mereka bercahaya dengan kepuasan.
Dayyan muncul dari balik semak, bertepuk perlahan. "Strategi. Keberanian. Keputusan pantas di medan. Awak semua lepas." Intan senyum. "Ini baru permulaan, kan? Ada lagi kan, seksaan untuk kami semua."
"Baru pemanasan." Jawab Dayyan dengan senyuman samar. "Malam esok: simulasi serbuan, tanpa belas kasihan." Intan hanya tersenyum manis dengan mencabar kesabaran lelaki tersebut. "Siapa takut?"

ANDA SEDANG MEMBACA
OPERASI RAHSIA: BLACK CODE
ActionIntan Dahlia merupakan seorang doktor pembedahan yang dengan sukarela menjadi dokter sukarelawan disalah satu kem PASKAL. keputusan Intan, merasakan ia terlalu lama dan berisiko. Hubungan yang dibina bertahun akhirnya terlerai, meninggalkan luka yan...