"AKU tak fahamlah! Apa masalahnya dengan orang tua tu?"
"Siapa?"
"Siapa lagi, kalau bukan Tuan Rizman dari Division 2? Sampai sekarang pun dia masih menyibuk dengan Indira."
"Alaa, puan kan ada. Tahulah puan uruskan dia."
"Itu aku tahu. Tapi, dah empat bulan kut. Indira pun dah kerja kat tempat lain. Apa yang dia nak lagi daripada Indira?"
Perbualan dari dua orang di sebelahnya, dia dengar teliti. Tidak pula dia mencelah. Sebaliknya, ingatannya menerawang kepada topik perbualan mereka. Tentang Tuan Rizman yang masih menggila dengan Blue Anthrax.
Lelaki tua itu tidak puas hati dengan operasi pencucian yang mereka lakukan di Diwa Island. Bahkan, sebelum ini dia beriya-iya melobi pihak atasan agar tidak menyentuh Diwa Island. Dia mahu mereka mengambil alih. Atau dalam erti kata lain, menyambung penyelidikan gila tentang Blue Anthrax.
Mujur sekali Puan Ana Maria tidak menunggu lama. Wanita itu lebih dahulu memintas segala perancangan Tuan Rizman. Lalu akhirnya, Diwa Island ditutup secara mutlak. Blue Anthrax dimusnahkan secara total. Dr Indira Rao yang pada ketika itu menjadi ketua operasi. Dia yang mencipta, maka dialah yang perlu memusnahkan.
Wolf, Shark dan Cobra tidak mengambil bahagian. Pertama, kerana itu bukan skop pekerjaan mereka. Biarlah mereka serahkan kepada yang pakar. Kedua, kerana operasi pembersihan dan nyahkuman tersebut sangat berbahaya. Dr Indira Rao menegah sesiapa yang tidak berkenaan untuk menjejak kaki ke situ. Namun, pihak ketenteraan tetap juga menyediakan orang demi memastikan keselamatan.
Setelah tiga bulan lamanya, operasi pembersihan akhirnya berjaya disudahkan. Dan dengan itu, Diwa Island ditutup. Pihak The Shadow dan pihak ketenteraan tidak mengatakan sampai bila. Tetapi Wolf yakin, tempat itu akan ditutup buat selama-lamanya. Diwa Island akan menjadi senasib dengan Rebirth Island di Laut Aral dan Chernobyl di Ukraine.
Sekarang, mereka akan menyambung hidup macam biasa. Pharma Art masih berada di bawah penyiasatan menyeluruh. Dr Indira sudah dilantik sebagai biodefense expert bagi pihak The Shadow, selain bekerja di sebuah syarikat farmasi lain. Shark masih berhubungan dengan wanita itu.
Dan kerana itulah, Shark geram benar sekarang.
Huh, Shark! Selalu sangat beremosi bila berkaitan Indira Rao. Sempat Wolf menyinis di dalam hati. Hujung bibirnya menyenget secalit, tetapi matanya tetap tegak ke hadapan. Memandang laluan yang bakal membawa mereka bertiga ke arah bilik operasi.
"Kau tahu apa yang dia nak." Wolf akhirnya membuka mulut. Menjawab apa yang dibebelkan oleh Shark sebentar tadi.
Jeda sekejap. Namun lewat ekor mata, Wolf perasan jelingan Shark kepadanya. Bibir lelaki itu juga terjuih sedikit.
"Kenapa dia tu obses sangat dengan bioweapon? Dia tak sedar ke..."
"Kalau dunia luar tahu apa yang Pharma Art dah buat, kita akan diserang." Wolf mencantas tenang.
"Tak pasal-pasal pula, kita akan jadi Iraq 2.0." Disambung pula oleh Cobra.
"Whatever happen, kita tak boleh biarkan itu berlaku." Wolf menyudahkan kata. Intonasi suaranya sengaja dikeraskan. Mahu menegaskan bicara sendiri. Bukankah memang itu yang sepatutnya?
Malaysia ini adalah negara tumpah darahnya. Walau perlu bergolok gadai sekali pun, walau perlu mengorbankan nyawa sekali pun, dia rela. Dia sanggup! Asalkan negara ini tidak akan lagi jatuh ke kancah peperangan.
Mereka bercakap lagi. Kali ini, Shark menyentuh pula soal John Carlo Martinez. Cobra yang banyak melayan perbualan. Wolf hanya menyampuk sekali sekala.
Ada satu saat, Cobra menghentikan kaki dan menyebut tentang teman wanitanya, Athena yang turut terbabit dalam Blue Operation. Isi pertuturannya berkisarkan senarai pembeli yang ada kaitan dengan John Carlo. Namun, apa yang ada di matanya adalah lebih daripada itu.

ANDA SEDANG MEMBACA
CODE NAME WOLF (Published)
ActionHIGHEST RANKING: #1 in secretagent (11/2/2021) #1 in suspense (11/2/2021) #2 in novelfiksyen (11/2/2021) #3 in action-thriller (12/2/2021) ??? NOVEL INI SUDAH DITERBITKAN DI PASARAN - Sinopsis belakang buku: 2021. BLACK OPERATION Objektif: Menjatuh...