MATA Wolf berkelip-kelip. Telinganya cuba menangkap apa yang baru menyinggah di situ. Dahinya juga sedikit-sedikit berlapis. Lidahnya pula terketar-ketar mengatakan...
"Colonel Sutichart?" Agak perlahan suaranya terbit.
Bibir Puan Ana Maria menyenget secalit. Kembali kepada wajahnya yang berbias sinis.
"Kenapa? Kamu tak kenal bapa mentua sendiri?"
Wajah Wolf berderau lagi. Kali ini, serentak dengan jantungnya yang terasa berhenti berdetak.
"Bapa mentua..." Lidahnya berdesis antara dengar tak dengar.
Puan Ana Maria melepaskan gelak.
"Wolf... Wolf... Wolf..." Dia menyeru nama Wolf berulang kali.
"Kamu fikir saya tak tahu apa-apa?"
Wolf menyengap. Kepalanya hampir tertunduk dengan lagak orang yang sedang rasa bersalah. Namun sepantas itu juga, dia menegakkan semula kepala. Perkahwinannya dengan Phoenix bukan satu kesalahan baginya. Jadi, dia tidak akan bertindak serupa itu.
Tidak sama sekali.
"Kamu kena ingat, Wolf." Suara Puan Ana Maria berbunyi lagi.
"Apa sahaja yang berlaku dalam pasukan ini, semuanya berada dalam pemerhatian saya. I know everything."
Sejenak, Puan Ana Maria berhenti dan senyum menyenget lagi.
"Well, mungkin saya perlu betulkan ayat tu. Bukan semua, tetapi hampir semua. Because you, Agent Wolf..." Mata Puan Ana Maria mengeras lagi. "You almost fooled me."
Tangan Wolf yang berada di belakang badannya, dia kepal kuat. Lidah terasa sukar untuk menitipkan kata yang otaknya suruh cakap. Tetapi dia sedar, dia tiada cara lain lagi. Yang kini berada di hadapannya ialah sang ketua yang perlu dihormati, bukan Cobra mahupun Shark yang boleh dia buat tidak endah.
Lalu hendak tak hendak, Wolf menitipkan...
"Aku... aku minta maaf, puan."
Tidak. Dia masih tidak rasa bersalah atas pernikahannya dengan Phoenix. Hatinya menyambung sendiri.
"Kamu sedar apa yang kamu buat, kan?" soal Puan Ana Maria. Masih berbaur tegas, tetapi sedikit kurang kerasnya.
"Aku ada hubungan dengan ejen dari agensi lain." Wolf menjawab.
"Kamu tahu tak apa maknanya itu?"
"Tahu," akui Wolf seraya menggangguk.
"Dan aku bersedia untuk terima hukumannya. Tapi..." Dia sengaja mematikan suara di akhir kata.
Raut muka Puan Ana Maria tampak berubah. Tampak lebih berminat dengan apa yang mahu dia ucapkan.
"Tapi apa?" Lalu, sang ketua menanya.
"Puan dah tahu sejak empat tahun yang lepas. Kenapa puan tak pernah sebut?" Wolf mengambil kesempatan untuk meminta kepastian. Kalau berdasarkan apa yang disebut oleh Puan Ana Maria sebentar tadi, dia yakin hubungannya dengan Phoenix sudah diketahui sejak lama dahulu.
Jadi persoalannya, kenapa dirahsiakan? Atau paling kurang, kenapa dia tidak dipanggil untuk soal siasat?
Puan Ana Maria memandang dalam-dalam.
"You know me, Wolf. Bukan cara saya untuk menyerang anak buah sendiri. I do things on my own. With my own way. Pada saat saya dapat tahu kamu minta Cobra mencari Ejen Phoenix, saya hantar orang."
"Untuk menyiasat aku," sambung Wolf. Lebih kepada bercakap dengan diri sendiri. Tetapi, didengari oleh Puan Ana Maria yang bertutur lagi.
"Saya perlu tahu setakat mana hubungan kamu. Atau apa yang kamu sudah sampaikan kepada Phoenix."

ANDA SEDANG MEMBACA
CODE NAME WOLF (Published)
ActionHIGHEST RANKING: #1 in secretagent (11/2/2021) #1 in suspense (11/2/2021) #2 in novelfiksyen (11/2/2021) #3 in action-thriller (12/2/2021) ??? NOVEL INI SUDAH DITERBITKAN DI PASARAN - Sinopsis belakang buku: 2021. BLACK OPERATION Objektif: Menjatuh...