抖阴社区

                                    

Mata Cobra bersinar-sinar.

Wolf boleh nampak dengan jelas. Pada saat nama Athena disebut dek lidah Cobra, mata lelaki itu berubah rentak. Jadi seperti tersenyum. Jadi bahagia.

Huh, ini seorang lagi. Lelaki yang dilamun cinta.

Usai beberapa saat berhenti di tengah-tengah jalan, mereka kembali menyambung langkah. Itu pun selepas ditegur oleh Wolf. Sekarang, bukan lagi masanya untuk terus-terusan menyebut tentang misi lama. Ada misi baru yang menanti. Wolf yakin itu. Kalau tidak, masakan Puan Ana Maria memanggil mereka bertiga dan menyebut tentang kes terbaru?

Dari kejauhan, bilik operasi semakin nampak di mata. Wolf menghayun langkahnya. Teratur dan setapak demi setapak. Di dalam hatinya pula tertanya-tanya, apa misi mereka kali ini?

Namun...

Pertanyaan di dalam hati itu lenyap. Serentak dengan kakinya yang mendadak berhenti. Matanya tegak melekat kepada satu susuk tubuh yang elok berdiri di hadapan pintu bilik operasi. Terpacak betul-betul di hujung sana. Bertentangan dengannya. Memandang ke arahnya.

Sedikit-sedikit, jantung Wolf mula rasa lain macam. Ada ledakan emosi yang dapat dia rasakan. Bahkan, jantungnya seperti terpasung. Seperti tersekat. Seperti tidak mampu bernafas. Pada saat itu, dia tiba-tiba rasa mahu ketawa kuat-kuat.

Apa yang dia fikir tentang Shark dan Cobra tadi? Lelaki yang beremosi kerana wanita. Sekarang, apa yang sedang dia buat?

Huh, kau juga sama, Wolf. Kau juga sama!!!

Suatu sudut hati Wolf mengejek serupa itu. Wolf mengepal tangan ketat-ketat. Benci dengan apa yang hatinya kata itu.

Sudah, Wolf. Cukup! Kau kena kawal diri kau. Kau tak boleh kalah di hadapan dia.

Usai menanam kata-kata tersebut di dalam diri, Wolf mengangkat kepalanya tinggi-tinggi. Riak matanya juga ditukar jadi lebih keras. Sesudah itu, dia mengorak langkah ke hadapan. Setapak-setapak, hingga akhirnya dia sampai betul-betul di hadapan wanita itu.

"Apa kau buat di sini?" Dia bertanya. Dapat dia rasakan betapa dinginnya nada suara sendiri.

Wanita itu tidak menjawab. Bahkan, dia langsung tidak melarikan tatapan matanya daripada Wolf.

Mereka saling merenung. Mereka saling terpaku kepada satu sama lain.

Wolf cuba mencari sesuatu di dalam mata itu. Sesuatu yang mungkin menjadi jawapan kepada segala persoalan yang menghantui dirinya selama ini. Malangnya, yang dia nampak cuma kekosongan semata-mata.

Sepasang mata di hadapannya ini sudah mati.

Mata Wolf sendiri pula hampir terpejam. Serentak dengan rasa hatinya yang ditusuk perit. Namun, dia lebih pantas menahan diri. Riak mukanya dikekalkan kosong, dingin lagi tidak berperasaan.

"Aku tanya, apa kau buat di sini?" Dia mengulang. Lebih keras.

Wanita di hadapannya tetap diam.

"Kau..."

"Indira!"

Suara nyaring Shark lebih dahulu memangkas kata. Tidak sempat Wolf bertutur. Perhatiannya segera terkalih kepada Shark. Lelaki tersebut masih di tempatnya berdiri tadi. Hanya beberapa langkah dari kedudukan Wolf dan sang wanita. Shark kelihatan sedang memandang ke suatu arah lain. Bibirnya menyengih. Lebar sampai telinga, bersama mata yang bersinar-sinar.

Wolf tahu kenapa.

Dia kemudian menoleh ke arah pandangan Shark. Kelihatan Dr. Indira Rao sedang melangkah ke arah mereka. Datangnya dari arah yang sama kemunculan mereka tadi, dan kini menuju ke arah yang sama kedatangan mereka.

CODE NAME WOLF (Published)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang