抖阴社区

                                        

"Lepas lahirkan Rina, mama dah kena barah rahim tahap awal. Doktor dah nasihatkan untuk buang rahim... tapi mama tolak. Dia kata, dia nak terus menyusukan Rina. Dia takut kalau buang, dia takkan rapat dengan anak dia sendiri..."

Rina menarik nafas perlahan.

"Mama simpan semua tu sorang-sorang. Dia ingat benda tu tak serius. Tapi kanser tu merebak, kak... Sampai ke paru-paru. Lepas tu, mama mula batuk berdarah... susah nak bernafas. Badan dia makin lemah."

Air matanya terus jatuh.

"Papa dah pujuk berkali-kali suruh pergi hospital... tapi mama tetap tolak. Dia takut semuanya terbongkar. Dan... itulah sebabnya mama pergi buat selamanya..." Kata Rina dan terus menekup mukanya menggunakan bantal.

Yana menggosok belakang badan Rina dengan lembut, perlahan-lahan dalam gerakan bulat, seolah-olah cuba meredakan sebak yang sedang bergelodak dalam dada adik iparnya itu.

"Takpe... akak tahu, kehilangan tu memang menyakitkan," bisik Yana, suaranya lembut seperti angin malam yang menyapa perlahan.

Rina hanya tunduk, matanya masih bergenang. Bahunya terhinjut-hinjut menahan esakan.

"Tapi, Rin..." Yana menarik nafas dalam. "Disebabkan kehilangan itulah... kita belajar hargai orang yang ada. Kita belajar peluk lebih lama, cakap 'sayang' lebih kerap, dan... kita jadi lebih kuat walaupun kita tak pernah minta untuk kuat."

Rina memandang ke arah Yana, matanya merah. Yana menyambung lagi dengan senyuman yang hambar, namun tulus.

"Akak percaya mama Rina... dia tinggalkan kasih sayang yang tak akan pernah hilang. Dekat hati abang Afqar, dekat hati papa, dan dekat hati Rin sendiri. Dia tetap hidup, Rin. Dalam setiap doa, dalam setiap kenangan."

Rina menggenggam jari-jemarinya erat, menggigil.

"Rina rasa rindu sangat... kadang Rina fikir, kenapa mama tak beritahu kami? Kenapa dia pilih untuk diam...?"

Yana menggeleng perlahan. "Kadang, orang yang paling kita sayang... pilih untuk diam sebab dia tak nak kita risau. Dia sanggup tanggung semua sakit tu, sorang-sorang, semata-mata nak tengok kita senyum."

"Macam mana nak hidup tanpa dia, akak? Hari-hari Rina rasa kosong..." suara Rina mula bergetar lagi.

Yana memeluk Rina erat. "Peluk akak kalau rasa kosong. Nangis kalau rasa tak kuat. Tapi jangan lupa... mama Rina tak pernah tinggalkan Rin sendiri. Dia ada dalam setiap kekuatan Rin sekarang ni."

Mereka terdiam seketika. Hanya suara kipas siling yang berputar perlahan dan dengusan hidung Rina yang masih sesekali tersedu.

Yana menyandarkan kepalanya ke sofa, memandang siling rumah yang kosong. Ada sesuatu yang mula meresap ke hatinya. Kata-kata yang dia sendiri luahkan buat Rina tadi—semuanya mula mengalir kembali ke jiwanya sendiri seperti gelombang yang tak dapat dibendung.

Pelukan kehilangan.

Kekuatan yang dipaksa hadir.

Rindu yang tidak pernah selesai.

Semua itu membawanya kembali kepada satu nama... satu wajah...

Ibu.

Yana segera bangun. "Akak... akak ke dapur kejap ye, nak buat air panas," katanya, cuba menyembunyikan riak wajahnya yang mula berubah.

Rina hanya mengangguk perlahan. "Okay, akak..."

Yana melangkah perlahan ke dapur. Setiap langkah terasa berat, seperti ada sesuatu yang sedang menekan dadanya. Tangannya menggigil ketika membuka kabinet mencari cawan. Bibirnya terketar menahan sesuatu yang sedang mahu pecah dari dalam.

JANJI DALAM DUKATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang