"Bangang!" Tutur Rumie sambil menunjuk isyarat jari tengah sewaktu memotong jentera Mercedes itu.
10 minit. Itu sahaja tempoh durasi yang diperlukan Rumie untuk tiba ke destinasi pilihannya pada petang Ahad itu. Jika diikutkan sahaja rentak arus trafik tadi pasti memakan masa selama setengah jam.
"Sampai juga akhirnya." Rumie mengukirkan senyuman sewaktu memarkir kereta di kawasan yang sesuai.
Dengan penampilan yang cukup santai tapi masih mengekalkan gaya metropolitan Rumie berjalan perlahan di sekitar pesisir pantai Teluk Senangin. Kakinya menguis pasir-pasir halus yang gebu itu.
Cuaca petang itu sungguh baik. Bahang sinaran sang suria tidak lagi terasa sengatnya. Seakan sudah diatur sebaik mungkin oleh Sang Pencipta meskipun ramalan cuaca mengatakan petang itu dijangka hujan.
Terasa satu kedamaian tatkala tiupan lembut bayu laut mencumbui pipi. Detik itu Rumie memejamkan mata cuba menghayati panorama nan indah sambil diiringi bunyi melodi buih-buih ombak yang membelah pantai.
Hatinya terasa sungguh gemersik. Penyatuan unsur-unsur alam yang menyentuh deria sentuhan dan deria bunyi pancaindera Rumie menyebabkan dia hanyut dalam dunianya sendiri.
Nun di awanan sana sekumpulan burung camar berterbangan dalam skala besar dilihat menuju ke ufuk barat. Sekali sekala terlihat juga unggas-unggas yang berlainan spesis memeriahkan lagi suasana.
Tidak ramai para pengunjung pada petang itu memandangkan pantai Teluk Senangin tidaklah sepopular pantai Teluk Batik yang terletak di Lumut. Ini lah yang cukup digemari Rumie.
Ketenangan. Terapi inilah yang amat diperlukannya ketika ini sementelah dia ditimpa pelbagai masalah duniawi yang tidak berkesudahan sejak minggu lalu.
Bermula dengan episod terputusnya sebuah ikatan pertunangan yang terjalin selama enam bulan diikuti kematian mengejut sahabat karib dan kemalangan motorsikal kesayangan sehingga total lost menyebabkan Rumie merasakan hidupnya mulai kosong sehingga sekarang.
Ya Rumie mengalami sedikit kemurungan akhir-akhir ini. Sehingga kini Rumie masih tidak mengerti mengapa sungguh perit sekali caturan yang telah direncanakan sang Dewataraya dalam takdir hidupnya biarpun sudah lama peristiwa tersebut berlalu.
Adakah ia adalah sebuah kafarah atas perbuatannya masa silam? Atau sekadar peringatan daripada Dia? Atau salah satu daripada ujianNya khas buat hamba-hamba yang terpilih?
Rumie buntu. Bukanlah niat di dalam hati mahu mengeluh. Bahkan jauh sekali mahu mempersoalkan qada' dan qadar. Sesungguhnya akal fikiran Rumie masih waras untuk tidak melampaui batas.
Cuma lumrah sebagai seorang manusia. Sudah pastinya seseorang itu merasa sedih dan putus harapan jika ditimpa musibah apatah lagi jika sudah jatuh lalu ditimpa tangga pula.
Rumie duduk seorang diri di bahagian sudut teluk. Longgokan batu-batu besar menjadi alas punggungnya. Jauh dia termenung ke tengah laut. Fikirannya tenang melihat arus laut yang berwarna kehijauan.
Satu pemandangan yang tidak boleh didapati di Teluk Batik yang kini telah pun sedikit tercemar akibat pembinaan pelantar minyak di kawasan berhampiran.
Rumie mengeluarkan sesuatu daripada dompet kecil. Mindanya perlahan-lahan jauh merewang sewaktu dia menilik sekeping foto berukuran passport itu. Wajah yang sering menghantuinya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Event for this month(oct) : Shakespeare's
Randomsetiap bulan pasti akan ada event yang akan dianjurkan..untuk memudahkan kerja serta tugas.. segala kisah dan cerita yang dikarang oleh para ahli Fundingu Familia akan dipost kesini.. selamat membaca pada pembaca..
shakespeare Eight
Mula dari awal