"Kenapa lah awak sanggup buat semua ni? Apa salah saya?" Gumam pemilik suara serak basah itu dengan nada sayu.
Ditatap lama foto wajah asli yang bebas daripada sebarang olesan solekan yang berunsurkan bahan-bahan kimia. Wajah putih mulus semulajadi yang pernah menjadi dambaan ramai jejaka di luar sana. Wajah yang membuatkan hidup Rumie penuh warna warni.
Sungguh Rumie sangat beruntung kerana dalam puluhan jejaka yang cuba memikat gadis bernama Salina itu dia adalah satu-satunya jejaka yang paling bertuah.
Siapa sangka seorang gadis jelita yang mendapat gelaran instafamous itu telah memilih dia, seorang lelaki yang tidak mempunyai apa-apa sebagai teman lelaki setahun yang lalu.
Setahun tempoh perkenalan sudah cukup untuk Rumie melanjutkan episod hubungan mereka berdua ke peringkat yang lebih serius.
Atas persetujuan dua buah keluarga maka berlakulah sebuah ikatan tali pertunangan yang dimeterai selama lapan bulan antara dua insan yang sedang hangat bercinta itu.
Sejak dari itu Rumie dan Salina saling bekerja keras demi membina sebuah masjid yang halal dan sah di sisi agama. Dek kerana itu juga Rumie dan Salina mulai kurang berhubung antara satu sama lain tetapi inisiatif untuk bertanya khabar masih lagi ada. Sekurang-kurangnya dalam sehari ada juga Rumie atau Salina membuat panggilan mesra.
Lumrah dalam setiap hubungan pasti ada pasang surutnya. Kadang kala Rumie dan Salina ada juga berselisihan faham tetapi ia tidaklah berlarutan panjang. Kerana pada akhirnya akan terbit juga kata-kata maaf. Baik daripada Rumie mahupun Salina. Keduanya saling bertolak ansur.
Namun sayangnya panas disangka hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Ikatan tali pertunangan dua insan itu hanya mampu bertahan selama tujuh bulan sahaja. Semuanya gara-gara kehadiran orang ketiga.
Tidak sangka kehadiran semula jejaka yang pernah menjadi cinta pandang pertama Salina sewaktu zaman persekolahan dulu telah menghancurkan semua harapan.
Alif, seorang jutawan muda dalam perniagaan kosmetik adalah teman setia Salina ketika zaman persekolahan dulu. Hubungan persahabatan mereka putus di tengah jalan setelah Salina melanjutkan pengajian ke luar negara sebaik sahaja tamat peperiksaan SPM.
Tempoh perpisahan mereka berdua selama sebelas tahun itu telah menyaksikan banyak perubahan yang sungguh drastik. Baik diri Alif mahupun Salina. Masing-masing ada sejarah silam yang tersendiri.
Alif yang dahulunya seorang jejaka kampung yang hidup serba daif dan gagal dalam peperiksaan SPM berubah menjadi jutawan kosmetik yang terkenal seantero Malaysia dalam sekelip mata. Berkat doa dan usaha gigihnya siang dan malam selama bertahun-tahun.
Sekarang di mana-mana sahaja pasti kelihatan iklan produk kosmetik dan kecantikan milik syarikat Alif. Baik di papan iklan di jalan raya mahupun di media sosial. Produk Terlanjur Laku sentiasa berada di mana-mana sahaja.
Salina, seorang gadis yang mengalami masalah keyakinan diri, penyakit jerawat dan obesiti yang melampau di waktu persekolahan dulu mengalami transformasi yang sungguh luar biasa sehinggakan dia pernah tular di media sosial atas kejayaannya membawa identiti yang berbeza beberapa tahun kemudiannya.
Kini Salina adalah seorang ikon bagi kaum Hawa yang mahu mendapatkan berat badan yang ideal. Di mana-mana pasti ada sahaja insan yang menegurnya dan hal itu sudah pasti mengundang rasa tidak senang hati di dalam diri Rumie.

ANDA SEDANG MEMBACA
Event for this month(oct) : Shakespeare's
Randomsetiap bulan pasti akan ada event yang akan dianjurkan..untuk memudahkan kerja serta tugas.. segala kisah dan cerita yang dikarang oleh para ahli Fundingu Familia akan dipost kesini.. selamat membaca pada pembaca..
shakespeare Eight
Mula dari awal