Sejak tular tiga tahun yang lalu, bilangan pengikut Salina di mana-mana laman akaun media sosial miliknya bertambah hingga cecah puluhan ribu. Menjadikan Salina adalah seorang model yang sangat terkenal terutamanya di laman Instagram.
Rumie sangat bersyukur kerana dalam pada kemasyhuran dan kejayaan Salina, gadis itu masih lagi setia kepadanya. Jika hendak dibuat perbandingan ramai pihak yang berpendapat Rumie dan Salina ibarat enggang dan pipit.
Tidak sesuai, tidak sekufu dan tidak sepadan sehinggakan Rumie pernah berasa sedikit tertekan. Namun Salina masih lagi berpijak di dunia nyata. Tidak pernah sekalipun dia melupakan jejaka itu.
Mana mungkin dia melepaskan sewenang-wenangnya jejaka yang telah banyak susah senang bersama dengan dirinya di waktu suka dan duka. Itulah Rumie. Jejaka itu lah teman akrab, teman lelaki, pembimbing dan pelindung dirinya yang cukup sempurna.
Tetapi apakan daya manusia hanya mampu merancang hanya Tuhan sahaja yang menentukan. Sedangkan pantai pun berubah dihanyut pukulan ombak inikan pula hati manusia.
Pertemuan secara tidak sengaja Salina dan Alif sewaktu pelancaran produk kosmetik terbaru milik syarikat Alif telah menimbulkan kembali perasaan yang telah lama asing biarpun ketika itu Salina baru sahaja bertunang selama sebulan.
Bermula dengan aktiviti saling berbalas mesej di WhatsApp secara suka-suka sehinggalah berlanjutan ke satu peringkat di mana Alif berani mengajak Salina keluar berdua-duaan secara terang-terangan tanpa pengetahuan Rumie.
Ironinya Salina hanya menurut sahaja permintaan Alif tanpa rasa bersalah walaupun dia sudah sedia maklum akan statusnya yang sudah pun bergelar tunangan orang.
Alif sebenarnya sudah pun sedia maklum akan status Salina yang sudah pun bertunang. Bukannya dia tidak tahu. Bahkan dia juga tahu akan hukum agama yang melarang keras seorang lelaki memikat wanita yang sudah pun menjadi tunangan orang.
Malangnya hal tersebut dibutakan sahaja oleh jejaka yang memegang teguh pada prinsip 'buat sampai dapat'. Selagi dia tidak berjaya selagi itu dia tidak akan berhenti berharap dan berputus asa. Itu jugalah prinsip yang dipegang Alif dalam bidang perniagaan.
Rumie masih ingat lagi bagaimana satu hari Salina bertandang ke halaman rumahnya bersama seorang lelaki yang cukup asing pada matanya. Siapakah dia?
Pada mulanya dia merasa sedikit berdebar kerana lelaki itu dilihat cukup elegen jika hendak dibandingkan dirinya yang hanyalah seorang mat despatch makan gaji di sebuah syarikat swasta.
Dengan penampilan yang kemas bergaya di samping kereta mewah yang cukup gah Rumie yakin lelaki itu bukan calang-calang orang. Pastinya seorang ahli perniagaan yang berjaya.
Timbul sedikit syak wasangka di dalam Rumie tentang lelaki itu tetapi perasaan itu ditepis jauh-jauh.
Dengan ikhlas dia menghadiahkan senyuman manis kepada Salina tetapi anehnya tiada sebarang reaksi. Salina tidak membalas senyumannya seperti biasa.
"Awak, saya nak tamatkan pertunangan kita." Ujar Salina tenang sewaktu menyerahkan cincin pertunangan mereka yang berwarna perak.
Rumie beriak terkejut. Berita yang diterima kali ini sungguh luar biasa. Apakah yang sedang merasuk diri tunangnya ketika ini? Rumie merenung anak mata Salina sedalam-dalamnya. Cuba mencari sedikit kejujuran namun hampa. Riak Salina tampak kosong.

ANDA SEDANG MEMBACA
Event for this month(oct) : Shakespeare's
Randomsetiap bulan pasti akan ada event yang akan dianjurkan..untuk memudahkan kerja serta tugas.. segala kisah dan cerita yang dikarang oleh para ahli Fundingu Familia akan dipost kesini.. selamat membaca pada pembaca..
shakespeare Eight
Mula dari awal