抖阴社区

??03

9 2 0
                                    

𓍯𓂃Bab 3: Siapa Cepat, Dia Tersipu

Kedai kopi Pakcik Kim masih sama seperti yang Haeun ingat. Aroma kopi yang baru dikisar bercampur dengan bau samar roti bakar dan kek pandan membuat perut Haeun berbunyi perlahan. Sudah empat tahun dia tidak menjejakkan kaki di tempat ini, tetapi semuanya terasa begitu biasa, seolah-olah dia baru sahaja berada di sini semalam.

Jam di dinding menunjukkan pukul 9.45 pagi. Haeun sengaja datang lebih awal untuk menenangkan diri sebelum berhadapan dengan Soonyoung. Dia memilih tempat duduk di sudut kedai yang menghadap ke jendela besar, tempat yang sama yang selalu mereka duduki dulu. Meja kayu itu masih mempunyai ukiran kecil "S+H" yang Soonyoung lukis menggunakan kunci keretanya pada hari jadi Haeun ke-21.

"Kopi susu panas dengan sedikit gula?" Suara Pakcik Kim menghentikan lamunannya.

Haeun mendongak dan tersenyum. "Pakcik masih ingat?"

Pakcik Kim, lelaki pertengahan usia 60-an dengan rambut beruban dan senyuman ramah, mengangguk. "Eh mestilah ingat. Pelanggan setia tidak dilupakan, walaupun menghilang bertahun-tahun."

Ada sedikit sindiran dalam kata-katanya, tetapi disampaikan dengan kelembutan seorang bapa. Pakcik Kim adalah seperti bapa kepada semua anak muda di kampung itu.

"Maafkan saya," ucap Haeun perlahan.

"Untuk apa minta maaf? Seoul memang tempat yang sibuk. Saya faham," katanya sambil meletakkan secawan kopi panas di hadapan Haeun. "Tapi ada orang yang kurang faham. Jadi, bersabarlah."

Sebelum Haeun sempat bertanya apa maksudnya, pintu kedai terbuka, memperdengarkan bunyi loceng kecil. Soonyoung melangkah masuk dengan yakin, memakai jaket denim biru gelap di atas kemeja putih dan seluar hitam. Rambutnya yang basah sedikit menandakan dia baru sahaja mandi. Dia kelihatan... segar dan tampan, jauh berbeza dengan penampilan Haeun yang hanya memakai baju lengan panjang berwarna merah jambu pudar dan jeans biru.

Haeun mengutuk dalam hati. Mengapa dia tidak berusaha sedikit dengan penampilannya?

"Pagi, Pakcik Kim," sapa Soonyoung dengan ceria. "Kopi seperti biasa."

"Segera!" jawab Pak Kim sebelum berlalu ke kaunter, meninggalkan mereka berdua.

Soonyoung menarik kerusi di hadapan Haeun dan duduk tanpa berkata apa-apa. Mereka berdiam dalam keheningan yang canggung selama beberapa saat.

"Kau awal," akhirnya Soonyoung memecah kesunyian.

"Hmm," Haeun mengangguk sambil menghirup kopinya. "Aku selalu awal."

"Dulu. Tapi empat tahun boleh mengubah kebiasaan seseorang," kata Soonyoung, matanya memandang ke luar jendela.

Haeun menggigit bibir, tidak pasti bagaimana hendak membalas. Setiap perbualan dengan Soonyoung terasa seperti berjalan di atas lapisan ais yang nipis – satu langkah salah dan semuanya akan pecah.

"Aku bawa senarai permainan yang kita boleh buat," kata Haeun akhirnya, mengeluarkan sebuah buku catatan kecil dari beg tangannya. "Dan beberapa cadangan hadiah."

Soonyoung mengambil buku catatan itu dan melihatnya dengan teliti. "Hmm, tarik tali, larian dalam guni, makan biskut tanpa tangan..."

"Semuanya permainan tradisional yang mudah difahami semua peringkat umur," jelas Haeun.

"Boleh juga. Tapi aku rasa kita perlu tambah sedikit..." Soonyoung berhenti seketika, mencari kata yang sesuai, "...kemodenan."

"Kemodenan?" Haeun mengerutkan dahi.

"Ya. Macam permainan realiti maya ringkas untuk remaja. Sekolah ada beberapa set VR yang boleh dipinjam untuk acara komuniti," jelas Soonyoung.

"Oh," Haeun terkejut. "Sejauh itu kah teknologi dah sampai ke kampung kita?"

??ˋ? Completed ? Once Again : Kwon SoonyoungTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang