抖阴社区

??10

10 2 0
                                    

𓍯𓂃Bab 10: Festival, Flashback & First Love

Cahaya lampu berwarna-warni menghiasi kawasan lapang di tengah kampung, mengubah ruang yang biasanya kosong itu menjadi pentas yang gemerlap. Festival kampung yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Gerai-gerai penjaja berjejer rapi, menawarkan pelbagai juadah tradisional yang menggoda, dari kuih tepung talam berwarna hijau dan putih hingga cendol yang menyegarkan dengan santan pekat dan gula melaka.

Haeun berdiri di hadapan cermin dalam bilik persalinan sementara yang dibina khas untuk persembahan malam itu, jari-jarinya gementar memperbaiki kain sulaman yang menjadi sebahagian daripada pakaian tariannya. Dia memakai hanbok tradisional berwarna biru laut dengan sulaman bunga sakura berwarna merah jambu pudar di bahagian lengan dan pinggang. Rambutnya disanggul tinggi dengan beberapa helai jatuh membingkai wajahnya dengan lembut. Solekan ringkas melengkapkan penampilannya—hanya sedikit pemerah pipi dan gincu merah muda yang memberikan sedikit warna pada bibirnya yang kering kerana gugup.

"Kenapa aku setuju untuk buat semua ini?" bisik Haeun pada dirinya sendiri, menarik nafas panjang untuk menenangkan jantungnya yang berdegup laju.

Pintu bilik persalinan diketuk perlahan. "Haeun-ah? Boleh masuk?" Suara lembut ibunya kedengaran dari luar.

"Ya, masuk eomma," jawab Haeun, masih memandang cermin dengan fikiran bercelaru.

Ibunya melangkah masuk dengan senyuman bangga. "Ya ampun, cantiknya anak eomma." Dia menghampiri Haeun dan membetulkan lipatan kain di bahu anaknya. "Macam dulu, masa kamu menang pertandingan tarian peringkat daerah."

Haeun tersenyum lemah. "Tapi itu dulu, eomma. Sekarang Eun takut badan dah kaku sebab lama tak menari."

"Tak apa," ibunya menyentuh lembut pipi Haeun. "Kau dah berlatih keras dengan Soonyoung. Eomma tengok korang berlatih beberapa kali. Nampak..."

"Nampak apa?" tanya Haeun bila ibunya terdiam.

"Nampak macam dua jiwa yang akhirnya jumpa semula," kata ibunya dengan senyuman penuh makna. "Ada sesuatu dalam cara korang bergerak sama-sama. Seperti... seperti dua bahagian yang diciptakan untuk satu sama lain."

Haeun mengeluh perlahan. "Eomma, jangan mulakan."

"Eomma tak mulakan apa-apa," bantah ibunya dengan ketawa kecil. "Eomma cuma cakap apa yang eomma nampak. Tapi ya sudahlah, eomma ke depan dulu ya. Pakcik dan makcik sebelah rumah dah sampai. Mereka tak sabar nak tengok persembahan korang."

Selepas ibunya keluar, Haeun merenung bayangannya sekali lagi. Seminggu yang lalu, selepas rahsianya terbongkar, pengakuan bahawa dia meninggalkan Soonyoung kerana rasa diri tidak cukup baik untuknya, semuanya berubah. Latihan mereka menjadi lebih lancar, lebih jujur. Tiada lagi sindiran tajam atau kecaman halus, walaupun Soonyoung masih menjaga jarak emosi. Dia tersenyum lebih kerap, tetapi senyuman itu jarang sampai ke matanya. Seperti ada sesuatu yang masih menghalang, sesuatu yang belum diselesaikan.

Pintu diketuk sekali lagi, kali ini dengan lebih kuat.

"Ya?" Haeun menoleh.

Pintu terbuka dan Soonyoung muncul, nampak segak dalam hanbok tradisional berwarna biru gelap dengan sulaman putih. Rambutnya yang biasanya jatuh menutupi dahi kini disikat ke belakang, mendedahkan dahinya yang luas dan membuatnya kelihatan lebih dewasa dan tampan dari biasa. Untuk seketika, mereka hanya berpandangan dalam senyap.

"Dah siap?" tanya Soonyoung akhirnya.

Haeun mengangguk perlahan. "Lebih kurang."

"Penonton dah ramai," kata Soonyoung, masih berdiri di ambang pintu seolah-olah takut masuk lebih jauh. "Nampaknya seluruh kampung dan kampung sebelah datang."

??ˋ? Completed ? Once Again : Kwon SoonyoungTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang