Qarizh menepuk lembut tubuh Alyssa yang sudah tidur di atas dadanya. Sekilas mata melihat jam digital yang ada di atas laci night stand. Pukul 5.15 pagi. Nafas dihembus perlahan sebelum matanya kembali tegak merenung syiling.
Nampaknya tidak tidurlah dia malam ni.
Qarizh cuba mengintai wajah Alyssa di atas dadanya. Tenang sungguh anak kecil ini tidur selepas luah bermacam perkara. Qarizh dengan masalah Qarizh. Alyssa dengan bebelan comelnya. Qarizh tersenyum lucu.
Perlahan Qarizh meletakkan Alyssa semula di atas katil. Dengan gerakan penuh berhati-hati, lelaki itu menapak turun dari katil. Satu helaan nafas dihembus perlahan. Kedua belah mata dipejam rapat. Dia penat tetapi badannya pula tidak mahu tidur, matanya susah hendak terpejam dan pada akhirnya dia tidak melelapkan mata langsung.
Qarizh bangkit berdiri tegak. Merenggangkan segala otot dan sararfnya yang terasa lenguh. Belakang leher diurut perlahan sebelum lelaki itu menguap.
Qarizh berpaling merenung tubuh si isteri yang masih lena dibuai mimpi. Tanpa sedar bibir lelaki itu naik membentuk satu senyuman lebar. Kakinya mula menapak ke arah sisi katil yang menempatkan isterinya.
Qarizh duduk bersila di sisi Medina. Wajah Medina yang tenang diulit mimpi itu direnung dalam-dalam. Qarizh menarik lututnya merapat sebelum disembamkan kepalanya di atas kepala lutut sembari matanya tidak lepas dari meratah seluruh wajah si isteri.
Katakanlah dia gila kerana obses dengan isteri sendiri.
Perlahan tangan lelaki itu naik menyelak helaian rambut hitam yang menghalang dirinya dari menatap wajah isteri tersayang. Qarizh tersenyum penuh makna. Isterinya sungguh cantik. Dia tidak akan pernah jemu untuk menatap seraut wajah itu setiap hari.
"Medina cantik, tahu tak?" soal Qarizh perlahan. Masih berusaha untuk tidak mengganggu lena wanita itu.
Tangannya masih bergerak membelai dan bermain dengan helaian rambut Medina. Bibir lelaki itu masih mekar dengan senyuman lebar.
Qarizh mula mendekat. Wajah isterinya kini dilihat dengan lebih dekat. Raut, lekuk wajah, bentuk hidung, bibir dan alis yang terukir cantik.
Bahagian yang paling Qarizh suka adalah bahagian anggota penglihatan wanita itu tetapi malangnya isterinya sedang tidur. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia buka kelopak mata Medina secara paksa.
Qarizh ketawa kecil. Sah, dia sudah gila!
Gilakan Nurain Medina!
Qarizh menunduk lebih dekat. Wajah Medina semakin rapat sehingga dia dapat merasakan helaan nafas mereka bergabung, saling menampar wajah satu sama lain.
Medina dengan helaan nafas yang tenang, Qarizh pula dengan helaan nafas yang memburu kuat. Dadanya mula berombak ganas seakan terganggu dengan wajah cantik isterinya. Gila!
Dia memang sudah gila!
Kedua belah tangan dikepal kuat sehingga buku jarinya memutih. Mata dipejam rapat. Tubuh lelaki itu sedikit menggigil.
Qarizh kembali duduk. Cuba mengatur semula pernafasan yang tidak terkawal tadi. Jantung lelaki itu berdegup kencang. Jelas tidak dapat menahan diri dari bertindak di luar kawalan sebentar tadi. Keluhan dilepaskan.
Sekali lagi dia merenung wajah isterinya. Raut wajah Medina nampak polos dan tidak bersalah. Tenang sahaja raut wajahnya menarik Qarizh untuk turut bertenang sama.
Lelaki itu tersenyum kecil. Tangannya naik menyentuh bibir si isteri tanpa sedar. Lama anak mata coklat cair itu merenung anggota bicara Medina. Halkum lelaki itu bergerak perlahan. Liur ditelan sekali.
Tidak salahkan kalau dia ambil tanpa wanita itu sedar?
Qarizh sudah membuat rancangan dalam kepala. Perasaan dalaman saling berperang antara satu sama lain. Dada lelaki itu kembali berombak kencang. Bibir Qarizh terbuka sedikit sebelum kembali tertutup. Dia sendiri keliru dengan apa yang patut dia buat sekarang.
Patut atau tak patut?
Qarizh tekad. Apa nak jadi, jadilah.
Qarizh kembali memberi tumpuan pada Medina yang masih tidak sedar dia diperhatikan. Tajam matanya merenung anggota bicara itu. Dalam hati masih dalam dilema namun kali ini dia sudah bertekad. Qarizh memejam erat kedua belah matanya. Bersedia mental.
Qarizh mula merapat. Hatinya berkocak ganas.
Saat nafas mereka hampir bersatu, gerakan Qarizh terhenti serta-merta. Satu suara seorang gadis asing namun terasa dekat di dalam cebisan memori bermain di minda. Tubuh Qarizh mengeras. Kepalanya mula berdenyut kuat.
"Abang."
Panggil suara itu. Suaranya tertahan-tahan. Seakan sedang menahan esakan dari terhambur keluar. Qarizh terpanar.
Siapa perempuan tu?
Kepala Qarizh semakin berdenyut-denyut. Semakin banyak dia fikir semakin galak sakitnya mencucuk. Suara yang sama kembali menerjah fikiran buatkan Qarizh semakin tidak terkawal. Memori itu datang tanpa henti tetapi kali ini dia boleh lihat senyuman tawar wanita itu.
Siapa dia sebenarnya?
Emosi Qarizh berkecamuk.
"Janji kita suami isteri sampai syurga?"
Qarizh tergamam.
Dunia seakan terhenti seketika.
Menggeletar tubuhnya cuba memahami makna disebalik kata-kata wanita asing itu.
Suami? Isteri? Apa makna semua ni?
Tubuh Qarizh menggigil. Kesakitan semakin galak membalut seluruh tubuhnya buatkan lelaki itu mula merekot di atas lantai. Kedua belah tangan menarik-narik rambut sendiri seakan turut menarik keluar kesakitan yang dialami. Dia tidak suka rasa macam ni!
"Ya."
Tubuh Qarizh mengeras. Dia kenal suara itu.
"Abang janji."
Suara dirinya sendiri.
Bibir bawah digigit kuat.
Hatinya sakit. Sakit dengan janji yang dibuat. Ada air mata yang mengalir buatkan Qarizh semakin tidak terdaya. Sebelah tangan naik menepuk dada sendiri. Rasa sakit ini semakin membebani dirinya. Bibirnya menggigil menahan esakan yang mahu keluar.
Kenapa hatinya rasa sakit sangat?
Sedangkan wanita di dalam memorinya pun dia tidak kenal siapa, kenapa dia perlu rasa sakit sampai macam ni?
Qarizh cuba untuk bertenang namun semakin lama suara itu lebih sakan menghantui. Memburu dan menyakitkan hatinya dengan janji yang ditaburi. Seolah-olah menuntut semula janji yang telah dimetrai.
Mata Qarizh terbeliak. Dia tidak dapat menampung air matanya lagi dibiarkan terus mengalir tanpa henti. Rasa sakit kepala dan sakit hati bergabung menjadi satu, berterusan dalam menyakitkan lelaki itu.
Qarizh semakin tidak terdaya. Tetap gagahkan diri untuk berdiri. Dia mahu keluar. Dia tidak boleh lama disini. Rasa sakit ini terlalu perit untuk ditanggung.
Qarizh rasa dia telah membuatkan wanita dalam memorinya itu terluka. Buatkan dia turut rasa sakit yang sama. Buatkan dia turut rasa sakit yang sama. Pasti wanita itu sedih kerana ditinggalkan sendirian untuk tempoh masa yang lama. Wanita itu bukan orang lain, wanita itu merupakan isterinya juga!
Ya tuhan, untuk siapa sebenarnya rasa sakit dan rasa bersalah ini?
Qarizh gagahkan diri untuk berdiri. Setiap langkah yang diambil tidak stabil membuatkan badannya terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan. Qarizh tidak betah untuk berada disini.
Dia mahu cari wanita itu!
Zakwan menghirup udara segar di halaman rumah Qarizh. Seketika dia melakukan regangan kecil bagi melegakan otot-otot yang tegang. Bibir merah itu lebar mengukir senyum tanpa sedar ada orang sedang laju mendekati lelaki itu.
"Zakwan!"
Zakwan terlompat. Hampir luruh jantungnya dikejutkan oleh Aza Qarizh. Laju dia berpaling ke belakang sambil sebelah tangan mengurut jantungnya yang hampir gugur tadi. Untuk beberapa saat barulah dia duduk tegak di hadapan Qarizh. Raut wajahnya serius.
"Ya?"
Wajah Qarizh menegang. Dadanya berombak ganas seakan baru sahaja selesai lumba lari. Siap dengan berpeluh habis lencun tubuh lelaki itu. Zakwan naik hairan. Apa yang sudah terjadi?
Qarizh mahu bersuara namun niatnya terbantut apabila kepalanya diserang dengan rasa sakit yang bagaikan menarik otaknya keluar.
Nafas Qarizh kembali memburu. Berpeluh seluruh tubuhnya menahan sakit sejak dua jam yang lalu. Sejak dua jam yang lalu juga dia cuba mengelak dari bertembung dengan Medina. Qarizh menelan kasar liurnya.
Berkilat matanya menelanjangkan fikiran Zakwan. Zakwan semakin pelik. Pandangan Qarizh nampak terdesak dan tertekan. Apa yang sedang terjadi sebenarnya?
"Aku nak kau cari isteri aku." pinta Qarizh sambil memejamkan matanya rapat. Sebelah tangan naik mengetuk kepala sendiri berkali-kali. Cuba menghalau rasa perit yang mencucuk kepalanya.
Zakwan angkat kening. Hairan.
"Puan Medina hilang ke?" soalnya polos. Masih tidak mengerti.
Qarizh menggeleng laju. Menafikan soalan Zakwan. Lelaki itu mahu bersuara namun sakit kepalanya masih menekan buatkan Qarizh hampir terjelopok ke bawah. Sempat dia berpaut pada bahu Zakwan. Nafasnya dikawal. Bibir bawah yang kering dijilat perlahan.
"Tuan Qarizh okay ke tak ni?" soal Zakwan risau.
"Aku nak kau cari isteri aku yang dulu. Isteri aku sebelum Medina, isteri aku sebelum aku hilang ingatan!"
Qarizh bersuara kasar. Cuba melawan rasa sakitnya namun rasa itu semakin menjadi-jadi. Pegangan pada bahu Zakwan semakin kuat dan semakin erat.
Zakwan berkerut tidak faham. Apa maksud Qarizh?
"Tuan-"
"Aku nak kau cari! Aku dah tinggalkan dia seorang diri selama empat tahun sedangkan aku dah janji dengan dia yang aku takkan tinggalkan dia! Aku nak kau cari jugak, Zakwan!"
Suara Qarizh meninggi. Menggigil badannya menahan rasa sakit. Tanpa sedar ada air jernih membasahi pipi lelaki itu. Air mata penyesalan, air mata penderitaan, air mata kesakitan.
Zakwan terdiam seribu bahasa. Terkebil-kebil dia merenung wajah Qarizh yang nampak sangat sakit. Perlahan kepala Zakwan bergerak ke kiri dan ke kanan. Menggeleng.
"Tidak."
Qarizh terpanar. Wajah Zakwan dipandang dengan rasa tidak percaya. Adakah Zakwan baru sahaja menolak arahannya tadi?
"Apa?" soal Qarizh.
"Tidak. Saya tak boleh. Maafkan saya."
Zakwan tunduk. Tidak berani untuk menentang mata Zakwan yang mula berapi dengan penolakkannya tadi. Dia tahu Qarizh akan meletup tidak lama lagi.
"Kenapa pula?" Qarizh mula berang. Sudahlah rasa sakit kepalanya menyakitkan hati ditambah pula dengan Zakwan yang sengaja menolak arahannya.
Zakwan tersenyum tawar. "Tuan dan ada Puan Medina. Untuk apa lagi saya pergi cari isteri tuan yang tak pernah kunjung tiba-"
Pang!
Tangan Qarizh menggigil. Sesak dadanya mendengar kata-kata Zakwan. Kenapa lelaki itu susah sangat nak faham? Dia bukan saja-saja cari. Dia sudah buat perjanjian dengan wanita itu.
Qarizh yakin mereka dulu pasangan suami isteri yang bahagia. Jadi tidak salah rasanya dia mahu bawa wanita itu pulang ke sini betul tak? Berkenalan dengan Medina sebagai madu kepada wanita itu.
Zakwan terdiam. Pipinya terasa pijar ditampar Aza Qarizh. Sebelah tangan naik menyentuh pipi sebelum Zakwan hanya tayang senyum menunjukkan dia langsung tidak goyah. Masih utuh dengan pendiriannya.
Dia. Tidak. Akan. Cari.
Titik.
"Maaf, saya tak akan patuh pada arahan tuan yang agak melampau bagi saya." balas Zakwan sinis buatkan darah Qarizh semakin menggelegak. Lelaki itu membentak tidak puas hati sebelum lelaki itu mula memekik geram.
"Baik! Kalau kau tak nak cari, biar aku sahaja yang pergi cari sendiri! Aku takkan biarkan isteri aku dulu merana sebab aku tinggalkan dia!" bidas Qarizh sambil mula mengatur langkah untuk berlalu pergi.
Ingat dia hadap sangat dengan pertolongan Zakwan? Jika lelaki itu tidak mahu membantu maka dia boleh pergi cari sendiri.
Tentu si isteri yang masih berada di luar sana sedang menanti kepulangan dirinya dan Qarizh bersedia untuk membawa wanita itu pulang semula ke pangkuan.
"Tuan!" laung Zakwan cuba menahan lelaki itu.
Qarizh laju menepis. Baru sahaja beberapa tapak lelaki itu melangkah, dia terhenti apabila Medina berdiri terpacak di hadapan pintu bersama mata yang sudah basah dengan air mata. Bibir wanita itu menggigil halus. Sedaya upaya menahan esakan dari terhambur keluar.
Kecewa dia selepas mendengar kata-kata Qarizh. Dia dengar.
Dia dengar semuanya.
Qarizh berdiri terpacak. Mereka saling berbalas pandang namun pandangan mata mereka sudah jauh beza dari sebelumnya. Pandangan yang sarat dengan rasa sayang kini sudah sirna digantikan dengan perasaan kecewa dan terdesak.
"Abang nak tinggalkan Medina?" soal Medina perlahan. Air mata dibiarkan mengalir membasahi pipi. Tercebik bibirnya menahan tangis.
Qarizh tiba-tiba menjadi rapuh. Baru sahaja dia mahu memujuk si isteri tiba-tiba suara isteri pertamanya hadir bagaikan menyuruh lelaki itu untuk pergi mencarinya.
"Janji kita suami isteri sampai syurga?"
Langkah Qarizh mati serta-merta. Wajahnya kembali tegang. Raut wajahnya serius. Medina yang masih menangis itu dibiarkan sahaja begitu tanpa ada niat untuk memujuk.
"Jangan tinggalkan Medina." pujuk Medina lagi. Dia cuba merapat namun Qarizh bertindak melangkah semakin menjauh. Langkah Medina terhenti. Hancur hatinya melihat reaksi lelaki itu.
"Saya nak pergi cari isteri saya yang dulu." balas Qarizh tanpa memandang wajah Medina. Dia tahu dia tidak cukup kuat untuk melihat wajah yang sangat kecewa, wajah yang sudah banjir dengan air mata. Dia benci melihat wanita itu menangis namun dia terpaksa.
Dia tiada pilihan lain.
Qarizh mula menapak meninggalkan Zakwan dan Medina. Langkah terhenti semula saat Medina memanggil dirinya.
"Qarizh..."
Qarizh mengepal erat penumbuk. Menahan diri dari berpaling ke belakang. Jika dia berpaling sekarang dia tidak akan kuat untuk sambung melangkah.
Medina menggigil. Kecewa dia rasa selepas dapat tahu lelaki itu mahu keluar mencari isterinya yang dulu. Wanita itu kuatkan diri untuk bersuara.
"Tak cukup ke saya sebagai isteri awak?"
Qarizh terpanar. Dia rasa wajahnya ditampar. Darahnya semakin menggelegak. Dia cuba kawal tetapi emosi semakin kuat menguasai.
"Jawab soalan saya, Qarizh! Tak cukup ke saya sebagai isteri awak?" Medina memetir. Geram melihat lelaki itu kaku tidak menjawab soalannya.
Dia semakin kecewa!
"Qarizh-"
"Kau ingat aku tak sakit hati bila kau ingat dekat suami kau yang dah lama mati tu? Tak cukup ke aku sebagai suami kau?" bidas Qarizh. Suara lelaki itu naik seoktaf lebih kuat berbanding suara Medina.
Bahu Medina terangkat. Terkejut dengan tengkingan Qarizh. Juga terkejut Qarizh ungkit kisah lamanya. Bukankah sekarang dia sudah undur diri dan setia dengan Qarizh sekarang? Butakah dia? Tidak nampakkah lelaki itu, Medina ikhlas mencintai dirinya?
"Sekarang kau jangan nak halang apa yang aku nak buat."
Qarizh merengus kasar sebelum terus menapak keluar. Tinggalkan Medina yang masih tidak dapat menerima perkara ini. Hatinya sudah hancur menjadi serpihan debu dan dibiarkan ditiup angin.
Medina berpaling menghadap Zakwan yang turut terkejut dengan apa yang terjadi. Bibir Medina mencebik. Biarlah siapa pun di hadapannya sekarang sebab dia memang nak menghamburkan segala yang dia rasa!
"Zakwan..." panggil Medina lemah.
Menggigil kedua belah kakinya bila melangkah menghampiri lelaki itu. Dia sudah tidak punya kekuatan. Tubuhnya terlalu lemah. Ditinggalkan sekali sudah cukup perit. Ditinggalkan buat kali kedua? Sudah. Dia tidak mampu tanggung kesakitan yang sama.
"Tolong halang Qarizh..."
Medina menangis teresak-esak. Emosinya bercampur aduk. Dia semakin tertekan. Dia masih berpantang sudah diuji sebegini. Perlahan tubuh itu melembik jatuh ke bawah.
"Puan Medina..." Zakwan jatuh simpati. Kasihan sungguh dia melihat keadaan wanita itu sekarang. Berat sungguh ujiannya.
"Tolong... Tolong halang Qarizh." rayu Medina. Dia cuba mengawal esakan namun esakan dia semakin menjadi-jadi. Tubuhnya menggeletar. Basah lencun wajahnya.
Zakwan mengepal erat penumbuknya. Cuba menahan amarah sebelum perlahan dia duduk bertinggung di hadapan Medina. Dengan yakin dia bersuara.
"Saya akan bawa dia balik. Puan jangan risau. Alyssa masih perlukan mak dia." pujuk Zakwan perlahan.
Mendengarkan nama Alyssa, Medina bagaikan tersedar semula ke realiti. Benar, Alyssa masih memerlukan dirinya. Laju dia angkat wajah pandang Zakwan dengan mata yang masih basah.
Zakwan hanya tayang senyum sebelum bangkit berdiri. Dia mula menapak untuk mencari Qarizh yang semakin menjauh, meninggalkan Medina yang mula mengumpul kembali kekuatannya.
Tenang, Medina. Alyssa ada.
Medina pujuk diri. Perlahan dia gagahkan diri untuk bangkit. Air matanya diseka kasar. Tidak. Dia kena kuat. Dia tidak mahu tunjuk lemah di hadapan Alyssa. Tidak akan.
Dia harus bertahan demi anak gadisnya!