抖阴社区

32 | PITAM

332 18 1
                                        

Adam memaksa kaki melangkah walaupun sekarang tubuhnya terasa lemah dan tak bermaya. Laluan ke perpustakaan dituju jua biarpun sendi tulang belulangnya seakan melonggar.

Hari ini hari pertama dia ke sekolah selepas cuti itu hari. Demamnya masih tak kebah dari dua hari yang lalu. Hari ini termasuk hari ketiga dia diserang demam.

Bagaimana mahu kebah kalau dia disuruh buat segala bapak kerja di rumah itu? Sudahlah ubat panadol yang sepatutnya dia makan setiap empat jam, dibuang begitu saja oleh Amdan ke dalam lubang jamban. Mahu ke farmasi, dia terlalu lemah untuk keluar.

Melihat keadaannya yang tidak surut, Puan Atikah ada juga menyuruhnya mengambil cuti beberapa hari lagi namun Encik Azmi pula yang menegah keras. Katanya, Adam wajib pergi sekolah. Setakat demam saja, bukan mati pun! Itu kata mereka yang belum demam, sudah bergegas ke hospital.

Adam tidak kisah pun sama ada dia cuti atau tidak. Jika Encik Azmi menyuruhnya bersekolah, maka dia akan pergi. Berbanding di sekolah, di rumah lebih seksa. Sekurang-kurangnya di sekolah dia boleh juga berehat walaupun dia perlu ke kelas. Tetapi, di rumah, apa saja yang dia tidak buat? Dari nak kebah, terus demam panas.

Adam melihat buku di tangannya. Sudah teruk rupanya. Bayangkan, dicelup ke dalam air lalu dijemur. Rupanya tidak akan sama seperti yang asal. Maka, wajiblah dia bawa ke perpustakaan untuk diberitahu kepada guru bertugas dan membayar denda. Tengking dan jerkah itu belakang cerita. Asalkan dia bertanggungjawab. Walaupun bukan salah dia!

Laluan kaki lima yang terasa jauh ini semakin menyeksa dia. Dia mahu cepat-cepat selesaikan masalah dia dan pulang. Dia perlu berehat. Tenaganya tinggal 3% sahaja lagi dan dia tak yakin yang dia boleh bertahan.

Tiba-tiba, langkahnya terhenti secara mengejut apabila seseorang berdiri di hadapannya, menghalang laluan. Adam berkerut melihat Tiara berdiri tegak di depannya.

Dah kenapa pula dengan budak ni?

"Awak nak pergi mana? Kenapa awak tak lunch sekali dekat tasik? Awak marah saya lagi ke?" Bertubi-tubi Tiara menembak soalan. Dengan wajah yang serius pula tu.

Mana tidak, tiga hari dia menunggu cuti sekolah tamat semata-mata mahu bertemu Adam. Dia mahu pastikan hubungan persahabatan mereka masih seperti sedia kala.

Tetapi, geram pula dia apabila Adam masih tidak mahu layan dia. Dia menegur pagi tadi, hanya jawab endah tak endah saja. Dia ajak makan di tasik, Adam tolak dia begitu saja. Bukankah Adam sudah memaafkan dia dan mereka juga sudah berbaik? Kenapa lelaki ini masih bersikap begini?

Adam hanya beriak kosong. Dia bergerak ke kanan, Tiara juga ke kanan. Dia ke kiri, Tiara ke kiri. Akhirnya Tiara depakan tangannya menghalang Adam dari pergi.

"Adam, kalau awak marah lagi, bagitahu saya. Saya akan minta maaf lagi sampai awak maafkan saya."

Adam mengeluh. Mata memandang kosong wajah gadis itu sebelum dia menurunkan lengan Tiara yang menghalang laluannya.

"Aku nak pergi library. Hantar buku," jawab Adam bernada malas.

Lantas, dia menyambung langkahnya tanpa pedulikan gadis itu. Badannya lemah, otaknya juga perlahan. Dia tak boleh berfikir dengan baik sekarang. Yang dia tahu, dia mahu cepat ke perpustakaan. Apa yang difikirkan Tiara, lain kali saja dia jelaskan.

Melihat Adam pergi tanpa hiraukan dia, Tiara gigit bibir. Sah lelaki ini marah dia lagi. Segera dia berlari anak mengekori langkah Adam.

"Nak ikut," kata Tiara serius. Bukan soalan, tetapi kenyataan. Dia mahu ikut Adam.

"Nak ikut buat apa? Pergilah kau makan dengan diorang sana," halau Adam.

"Awak macam mana? Tak nak makan ke? Nanti awak makan sorang-sorang pula."

【C】SABAR SEORANG LELAKITempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang