Adam berjalan tenang sambil menggalas begnya ke dalam ruang asrama. Tiba di bilik, tubuh terus dihempas ke atas katil bujangnya. Lelah dihela. Penat fizikal, penat mental. Penat juga hati dan otak.
Selepas beberapa minit dia berehat, Adam bangun lalu pintu loker dibuka dan serta merta matanya terbeliak luas. Kaki pula terundur ke belakang. Mana dia tak terkejut kalau lipas tiba-tiba saja terbang keluar dari loker dia.
Adam kaku berdiri. Bagaimana lipas sebanyak ini boleh ada dalam loker dia? Dia ada simpan makanan terbiar ke di dalam? Atau ada yang mahu perdajal dia?
Tiba-tiba, matanya menangkap dua manusia di pintu bilik melalui pantulan cermin loker. Mereka menyorok di sebalik pintu dan bersedia dengan telefon masing-masing untuk mengambil video.
Tahulah Adam, teman sebiliknya punya kerja. Apa tujuan mereka? Mahu melihat dia melompat-lompat sambil terjerit geli?
Adam hela nafas geram. Lipas yang mendarat di bahu ditepis. Bermain dengan benda kebudak-budakkan begini yang dia malas ni.
Dia? Takut?
Benda seperti ini sudah terlampau biasa dia rasa. Hidup dengan Amdan, seperti hidup sebagai tentera. Dan hamba.
Sewaktu kecil, Amdan pernah memasukkan lipas ke dalam bajunya, labah-labah ke dalam air minumannya dan lipan ke dalam kasutnya yang menyebabkan kakinya membengkak kerana disengat. Nasib baik saja lipan itu bukan lipan dewasa. Kalau tidak, teruk dia dimasukkan ke dalam wad. Silap hari bulan, boleh mati.
Bukanlah dia mahu berlagak, tetapi sememangnya lipas bukan ancaman bagi dia.
Adam berjalan ke pintu dan menarik tombol supaya dia lebih nampak dua manusia tak betul otak sedang menyorok.
"Aku tak sangka orang kaya macam kau pun main dengan benda kotor. Mana kau dapat lipas-lipas tu? Upah pembantu bawa datang seguni?"
Adam memandang dua pelajar itu yang kelihatan pucat. Melihat reaksi mereka pun, dia sudah tahu mereka juga gelikan lipas. Bagaimana mereka membawa lipas itu ke mari, wallahu'alam.
"Kalau kau geli, kau guna cara lain. Jangan cari kelemahan orang lain guna kelemahan sendiri. Tapi, masalahnya kau tu bodoh."
Adam berjalan menghampiri teman sebiliknya lebih dekat. Dia tundukkan badan dan sandarkan lengan kanan pada birai pintu sambil memandang mereka yang masih duduk di lantai luar bilik.
"Kalau dah tahu takut lipas, jangan guna lipas. Sebab kau tak tahu musuh kau tu takut benda yang sama macam kau atau tak. Silap hari bulan, kau yang terkena!" Serentak itu, Adam meletak dua ekor lipas ke atas kepala mereka berdua.
Dua teman sebilik Adam itu lantas berdiri dan badan menggeliat geli sebelum mereka berlari meminta tolong. Adam hanya pandang mereka dari birai pintu bilik.
"Nak prank tapi kena batang hidung sendiri. Baik tak payah," gumamnya perlahan.
Adam memusingkan badan. Tangan dicekak sambil mata melihat keadaan biliknya. Serabutnya kepala otak! Melihat ada yang berterbangan sana sini membuat dia semakin serabut dengan semua ini.
Ah, malaslah dia nak ambil peduli. Kenapa dia pula perlu bertanggungjawab membersihkan lipas-lipas ini? Siapa yang bawa masuk, dialah yang bawa keluar.
Adam mencapai tuala yang tersangkut pada kepala katil lalu dikibas-kibas supaya tiada lipas yang melekat padanya. Dia terus berjalan keluar dari bilik untuk ke tandas.
Satu kerja pula dia nak membersihkan loker!
.
.

ANDA SEDANG MEMBACA
【C】SABAR SEORANG LELAKI
Teen Fiction| In Editing (80 Ch) | 『????? ??????? ??????』 ● ● ● Adam Daniel Seorang pemilik hati yang tulus namun dikaburi dengan perwatakan kasar. Anak haram? Anak zina? Tak sah taraf? Ya, itulah panggilan tetap dan kekal untuknya. Sabar a...