抖阴社区

BAB 65

16.1K 467 13
                                    

Pagi itu, langit kelihatan mendung dengan warna kelabu kehitaman.Memberikan suasana muram yang menandakan hujan akan turun.Angin bertiup sepoi-sepoi, membuatkan daun-daun kering di atas tanah terbang.

Di tanah perkuburan, Annisa masih duduk bersila di hadapan kubur dengan kesepian mengelilinginya. Wanita itu merasa seolah-olah dunia di sekelilingnya terhenti.Dia keseorangan di hadapan kubur.Ahli keluarganya menunggu di kereta.

Annisa menatap tanah kubur yang masih merah dan lembap.Merasakan kesedihan yang mendalam. Masih tidak percaya bahawa orang yang dia sayang telah pergi menghadap Ilahi.Memang benar, semua yang bernyawa pasti akan mati.Tetapi menerima hakikat itu bukanlah semudah yang disangka.

"Nisa." Tegur Amna yang baru tiba di belakang Annisa.Dia turut merasai kesedihan yang sama. Hatinya berat dengan kehilangan yang dialami oleh sahabatnya. "Jom kita balik." Ajak Amna.

"Amna." Panggil Annisa dengan suara serak.

Amna melutut di sebelah Annisa. "Ya Nisa."

"Aku mimpi ke?" Sebak suara Annisa.Tangisan yang ditahan hampir gugur.

Hampir gugur air mata Amna mendengar pertanyaan Annisa.Dia faham apa maksud yang Annisa ingin sampaikan. "Ajal dia sudah tiba Nisa. Jodoh, pertemuan, ajal dan maut semua ketentuan Allah.Kita sebagai hamba kena redha dengan setiap ketentuan-Nya." Nasihat Amna dengan lembut. Berusaha memberikan sedikit kekuatan kepada Annisa.

"Dah tak nak nangis.Jom kita balik." Ajak Amna lagi.Risau melihat wajah Annisa yang pucat.

Dengan berat hati, Annisa akhirnya bangun.Air mata yang mengalir di pipi dilap dengan tapak tangan.Dia menggulung tikar mengkuang yang menjadi lapik untuk duduk. "Jom." Ajak Annisa dengan lemah.

Amna memimpin lengan Annisa.Dia risau jika Annisa jatuh pengsan dengan keadaan dirinya yang begitu lemah.Perlahan-lahan langkah mereka menuju ke kereta.Setiap langkah terasa seperti beban berat.

♡♡♡

TOK!

TOK!

"Nisa.Mama masuk ya." Pinta Datin Farida yang berada dihadapan pintu bilik Annisa.Tangan kanan memulas tombol pintu dengan hati-hati sementara tangan kiri memegang dulang makanan.

Pintu dibuka perlahan dan sebaik sahaja Datin Farida melangkah masuk, anak matanya menangkap susuk tubuh Annisa yang duduk melutut di atas katil.Keadaan badan menghadap ke arah balkoni seolah-olah mencari ketenangan di luar.

Perlahan-lahan, Datin Farida menapak ke arah katil. Dulang makanan diletak di atas meja tepi katil dan tangannya mencapai mangkuk berisi bubur yang masih panas. "Nisa." Panggil Datin Farida.

Namun, harapan itu sia-sia kerana Annisa masih membisu.Terperangkap dalam dunianya sendiri.

"Jom makan, Nisa.Balik dari kubur tadi, Nisa tak makan lagi.Sekarang sudah petang.Kalau Nisa terus begini, nanti Nisa sakit." Pujuk Datin Farida dengan nada penuh keprihatinan.

Sebelum ini, dia telah menyuruh Raisya memanggil Annisa turun makan tetapi usaha tersebut gagal. Annisa masih berkurung dalam bilik.

Dengan perlahan, Annisa menggelengkan kepala untuk menolak pelawaan itu.

"Mana boleh macam tu sayang.Nisa makan sikit pun jadilah." Pujuk Datin Farida.

"Nisa tak nak." Jawab Annisa dengan suara yang lemah.Tiada selera untuk makan bahkan untuk minum air pun tidak mahu.

"Meh mama suap Nisa ye?" Datin Farida masih tidak mengalah.Berusaha untuk memujuk Annisa makan.

"Nanti Nisa makan." Tolak Annisa dengan bersungguh-sungguh untuk menghentikan perbuatan Datin Farida.

ARYAN ANNISA [C]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang