??????????????: ???.?
?????? ?????? ?????? × ???? ?????? ?
Tengku Harraz Aldean punya segalanya; nama, warisan, dan masa depan yang telah dirancang. Tetapi jiwanya memilih jalan yang tidak direstui. Duni...
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
Dua hari berlalu. Kini, Zara berada di dalam bilik mesyuarat, dikelilingi beberapa ahli Istana Kasih.
Di hadapannya, sebuah laptop terbuka dengan helaian dokumen kewangan yang sedang dia teliti. Laporan itu berkaitan dengan program kebajikan terbaru NGO mereka, dan tugasnya adalah memastikan semua angka serta maklumat dalam dokumen tersebut tepat sebelum dihantar kepada pihak atasan.
Di sebelahnya, Raihana, bendahari kelab, menghulur satu pemacu USB.
"Saya bagi awak settlekan dulu. Tiga hari lagi saya nak balik file ni dalam USB. Jangan hilangkan tau. Sebab file ni sulit. Awak dan jawatan tertinggi je yang tahu pasal isi file ni. Pastikan semua betul sebelum kita mulakan meeting nanti," pesan Raihana, nada suaranya tegas tetapi mesra.
Zara menyambut pemicu itu. "Baik kak."
"Okay, awak settlekan dulu apa-apa dekat sini. Saya nak jumpa presiden kita jap."
Zara mengangguk lagi, membetulkan cermin matanya sebelum kembali menumpukan perhatian pada skrin laptop. Jarinya lincah menaip di papan kekunci, menyemak dan mengemas kini laporan kewangan Program Istana Kasih.
Dia memastikan setiap butiran perbelanjaan dicatat dengan betul. Dari jumlah dana yang diterima, perbelanjaan untuk pembelian barang keperluan, kos sewa tempat, sehingga ke peruntukan bagi aktiviti sukarelawan. Sesekali, dia menyelaras jadual pembayaran dan menyemak semula resit yang telah dikumpulkan sebelum memasukkan jumlah akhir ke dalam laporan.
Matanya beralih ke beberapa baris angka yang kelihatan tidak seimbang. Dia menyemak semula catatan asal, membandingkan dengan resit dan dokumen lain sebelum menyedari ada satu transaksi yang belum dimasukkan ke dalam laporan.
Tangannya pantas membetulkan angka dan mengemaskini ruangan nota ringkas untuk memudahkan Raihana memahami perubahan yang dibuat. Setelah yakin semuanya teratur, Zara menyimpan fail tersebut dan membuat satu salinan tambahan sebagai langkah keselamatan. Beberapa fail juga turut disemak.
Dua jam berlalu...
Zara menghela nafas kecil, meregangkan jari-jemarinya yang sudah mulai lenguh. Matanya beralih ke skrin laptop, namun tumpuannya semakin pudar. Masih ada beberapa bahagian laporan yang perlu diperiksa, tetapi matanya sudah terasa letih.
Zara mengangkat kepala, menyedari keadaan sekelilingnya sudah semakin sunyi. Ahli-ahli Istana Kasih yang tadi memenuhi bilik mesyuarat sudah lama beransur pulang. Hanya bunyi detik jam di dinding menemani ruang yang kini terasa lebih lengang.
Dia menutup laptop perlahan-lahan dan menyimpan pemicu USB dengan cermat ke dalam beg. Setelah memastikan semua barangnya lengkap, Zara bangkit dari tempat duduk, membetulkan tudungnya yang sedikit senget.
Dengan satu helaan nafas panjang, dia akhirnya melangkah keluar dari bilik mesyuarat, meninggalkan suasana yang semakin sepi di belakangnya.
----
Selesai solat Asar, Zara melangkah keluar menuju ke blok F6. Di tangannya, ada bekas makanan kucing untuk Leo. Pak Mat kata si bulus itu sudah sembuh, tapi masih perlu tinggal dalam sangkar. Sangkar itu terletak di lorong sebelah ruang kafeteria.
Ketika dia tiba, hujan sudah turun lebat. Angin dingin menyapu wajahnya, membuatkan dia merapatkan sweater ke tubuh. Kampus lengang, sunyi dengan hanya bunyi hujan yang menghentam bumbung dan tanah.
Dia berjalan perlahan ke arah sangkar Leo, meletakkan bekas makanan di hadapan kucing itu. Leo mengiau perlahan sebelum mula menjamah makanannya, ekornya melilit-lilit di antara jeriji sangkar.
Comel.
Selesai memberi makan, Zara tidak terus beredar. Dia melangkah ke tepi, berdiri di bawah bumbung kecil sambil memerhati titisan hujan yang jatuh deras. Suasana sebegini selalu membuatkan dia tenang. Udara sejuk, aroma tanah basah, dan gemuruh hujan, semuanya terasa seperti selimut yang membalut kesunyiannya.
Dia menarik nafas dalam, membiarkan fikirannya melayang. Matanya mengekori air yang mengalir di lantai simen, membentuk lopak kecil yang berkilauan di bawah cahaya lampu. Dia tahu dia harus segera pulang, tapi entah kenapa, hatinya enggan beranjak.
Dia menarik nafas perlahan, menikmati momen itu. Namun, ketenangan itu tidak bertahan lama.
Satu tepukan di belakang bahunya membuatkan dia tersentak. Belum sempat dia menoleh sepenuhnya, tudungnya ditarik kasar dari belakang. Tubuhnya terhentak ke belakang, terikut dengan tarikan itu.
Zara terjerit kecil, matanya membulat terkejut. Dalam sekelip mata, dia berdepan dengan dua wajah yang cukup dikenalinya, Salina dan Melly.
"Apa ni?!" suara Zara bergetar, cuba meronta.
Tetapi sebelum sempat dia melawan, dunianya tiba-tiba berpusing. Sesuatu menekan kuat di bahagian hidungnya, dan sebelum dia menyedarinya, semuanya menjadi kabur.
---
Kesakitan menjalar di sekujur tubuhnya.
Zara membuka mata perlahan-lahan, kepalanya terasa berat. Ruangan di sekelilingnya samar-samar, namun sedikit demi sedikit, dia mula sedar.
Dia berada di atas kerusi, dalam sebuah bilik. Luas, tetapi sunyi dan terbiar. Dindingnya penuh dengan kesan tampalan cat yang mengelupas, dan udara di dalamnya berbau hapak.
Dadanya turun naik, panik mula merayap ke seluruh tubuh.
Langkah kaki kedengaran.
Zara mengangkat kepalanya, dan pandangan pertamanya jatuh pada seseorang yang berdiri di hadapannya.
Johan.
Senyuman sinis terukir di wajah lelaki itu sebelum dia merapatkan diri. Tanpa sebarang amaran, dia menarik Zara dengan kasar.
Tubuhnya ditolak ke lantai.
Belum sempat Zara mengatur nafas, satu tendangan padu hinggap di perutnya.
Nafasnya tersekat. Sakit.
Dia cuba bangun, tetapi tubuhnya terlalu lemah.
Gelak tawa kedengaran.
Salina. Melly. Dan beberapa lagi wajah yang dia tidak kenali.
Zara menggenggam bajunya sendiri, ketakutan menguasai diri.
"Dah lama aku tunggu hari ni," suara Johan bergema, penuh kebencian.
Zara menggigit bibir, menahan ketakutan yang hampir membunuh kewarasannya.