抖阴社区

??????? ??

30 7 0
                                    

Langit malam gelap hanya diterangi cahaya jalan yang suram

Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.

Langit malam gelap hanya diterangi cahaya jalan yang suram. Harraz merengus, jemarinya menggenggam lengan Zara yang masih longlai. Dengan sekali hentakan, dia menolak gadis itu masuk ke tempat duduk belakang. Pintu ditutup dengan kasar.

Dia berdiri seketika di luar, menarik nafas panjang. Matanya jatuh ke skrin telefon di tangannya, video yang dirakam dalam bilik hotel tadi, ia masih terpapar di skrin. Nafasnya semakin berat. Perlahan, ibu jarinya menekan butang 'delete'.

"Deleted."

Tanpa teragak-agak, dia mencampak telefon itu ke dalam tong sampah. Tidak ada bukti, tidak ada rakaman. Itu bukan urusan dia lagi.

Tanpa membuang masa, Harraz melangkah ke tempat pemandu, membuka pintu dan duduk. Nafasnya masih berat. Jari-jarinya terangkat, menyentuh hujung bibir, kesan darah kering melekat di situ, sedikit perit akibat pertarungan tadi. Dia menghela nafas panjang, mata terpejam sesaat sebelum menoleh ke cermin pandang belakang.

Wajahnya tampak tegang di pantulan cermin. Luka kecil di pipi, garis merah samar di rahang, semua itu bukan sesuatu yang asing baginya. Dia sudah biasa dengan kesakitan fizikal sejak di Manchester. Tapi entah kenapa, malam ini terasa lebih menyesakkan.

Dengan satu keluhan pendek, Harraz menghidupkan enjin. Baru sahaja dia mahu menekan pedal, suara lemah bergema dari tempat duduk belakang.

"Mmmh... ugh..."

Keningnya berkerut. Dia menoleh. Zara, masih separuh sedar, kepalanya terhuyung-hayang. Dada gadis itu turun naik dengan nafas yang semakin berat.

"Panas..."

Suara itu lirih, hampir seperti rintihan.

Harraz mengetap rahang. Matanya tajam memerhati. Sekilas dia dapat menangkap rona merah yang mula menjalar di wajah gadis itu, matanya sedikit berkaca, bibirnya ternganga tipis seolah-olah sedang kehausan. Tangan cuba membuka jaket yang sudah tersarung di tubuh itu.

Sial.

Dia sudah agak sesuatu tidak kena, tetapi kini kecurigaannya semakin kuat, gadis itu kelihatan seperti di bawah pengaruh ubat. Dan mungkin telah diracun dengan Flunitrazepam.

Tangannya segera membuka laci kereta, menarik keluar tali leher yang tersimpan di dalamnya. Tanpa ragu, dia keluar bergerak ke belakang.

Dengan satu gerakan pantas, dia menangkap pergelangan tangan Zara dan mengikatnya dengan kuat. Gadis itu mengerang, meronta sedikit, tetapi dia terlalu lemah untuk melawan. Harraz langsung tidak teragak-agak.

"Menyusahkan."

Kakinya pula diikat kemas, memastikan dia tidak boleh bergerak bebas. Namun, rengekan itu tidak berhenti. Badan gadis itu semakin gelisah, seperti ada sesuatu yang membakar dari dalam tubuhnya.

Harraz mengeluarkan kain bersih dari poket sisi pintu, menggenggam dagu Zara sebelum menekup kain itu ke mulutnya.

"Diam."

Nada suaranya dingin. Tiada rasa simpati. Tiada kelembutan. Hanya ada rasa marah yang entah mengapa boleh ada.

Zara merintih perlahan, tetapi akhirnya terdiam, nafasnya masih berat, tetapi tubuhnya kini terpasung sepenuhnya.

Harraz kembali ke tempat pemandu, menarik nafas panjang sebelum menekan pedal minyak.

Kereta meluncur laju, meninggalkan kawasan itu.

Destinasinya hanya satu.

Rumah kakaknya, Humaira.

---

Harraz memandu masuk ke kawasan perumahan elit yang tertutup rapi. Rumah Humaira berada di lot hujung, jauh dari jiran-jiran lain. Tinggi, moden, dengan pagar automatik yang terbuka sendiri apabila sistem mengesan kereta Harraz. Lampu luar menerangi pekarangan luar yang luas dan lengkap.

Kereta berhenti di porch. Enjin dimatikan. Harraz keluar, membuka pintu belakang. Zara masih separuh sedar, tubuhnya panas, nafasnya tidak teratur. Harraz membongkok, membuka ikatan di kaki, tangan dan mulutnya.

Zara merintih kecil. Tubuhnya lemah, tetapi dia tidak hanya diam. Jari-jarinya menggapai udara, matanya kabur. Dia menggeliat, seolah-olah kepanasan yang menyeksanya semakin membuak.

"Harraz..." Namanya terkeluar dalam suara yang hampir tidak berbentuk kata.

Harraz mengetap rahang.

Zara bergerak, tangannya mencari sesuatu untuk berpaut, dan akhirnya, dia merangkul tubuh Harraz.

Bahu Harraz menegang.

Tubuh Zara yang terawang-awang dalam separa sedar kini melekap padanya. Harraz dapat rasakan degupan jantung gadis itu, panas yang membara dari kulitnya. Nafas Zara tidak teratur, seolah-olah berada dalam dunia lain.

Rahangnya mengeras. Matanya meredup tajam.

Dadanya naik turun, bukan kerana terkesan, tetapi kerana kemarahan yang semakin mencengkam.

Cengkaman tangannya pada lengan Zara mengeras. Tanpa sebarang kata, dia menyeret gadis itu keluar dari kereta.

Zara merintih lagi, tidak menyedari apa yang sedang berlaku. Dia terhuyung-hayang, hampir jatuh, tetapi Harraz tidak peduli. Dia terus menarik gadis itu ke pintu utama rumah.

Skrip kunci berbunyi.

Pintu terbuka. Harraz menarik Zara masuk.

Humaira yang sedang duduk di sofa, menikmati drama di skrin besar hampir tersedak apabila melihat adiknya masuk dengan keadaan begitu.

"Harraz?" Suaranya penuh kejutan.

Tetapi Harraz tidak peduli. Dia terus menyeret Zara ke dalam rumah, tidak menghiraukan jeritan kecil gadis itu yang cuba meronta.

Humaira bangkit, ingin mendekat. "Harraz kau buat apaㅡ"

Belum sempat dia habiskan ayat, Harraz sudah membuka satu pintu di sisi ruang tamu yang membawa ke luar rumah. Humaira terpinga-pinga.

Tanpa sebarang amaran, Harraz menarik Zara ke arah kolam. Gadis itu meronta lemah, langkahnya terhuyung-hayang, tubuhnya terasa panas membakar dari dalam. Mulutnya terbuka sedikit, bibirnya bergerak seolah-olah ingin berkata sesuatu, tetapi sebelum sempat suara keluar, Harraz menolak tubuhnya ke hadapan.

"Lepas ni kau solat taubat."

BYURR!

Zara jatuh ke dalam kolam, air berkocak kuat. Gelombang kecil memercik ke tepi, membasahi lantai marmar di sekelilingnya. Tubuhnya tenggelam seketika sebelum timbul semula, wajahnya penuh kekeliruan, mulutnya tercungap-cungap mencari udara. Air dingin meresap ke dalam kulitnya, memberi kejutan yang membuatkan tubuhnya menggigil.

"Harraz?!" Humaira menjerit, wajahnya penuh kejutan dan panik.

Harraz hanya menghela nafas panjang, matanya dingin. "Kau settlekan dia."

Humaira masih terkaku. Tidak mengerti. "Hah?"

Harraz menjeling sekilas ke arah Zara yang sedang bergelut di dalam air sebelum kembali memandang kakaknya.

"She's been drugged." Suaranya mendatar. "Flunitrazepam."

Mata Humaira membulat. "Ya Allah." Tanpa menunggu lagi, dia berlari ke tepi kolam, mahu menarik Zara keluar.

Tetapi Harraz?

Dia sudah berpaling, melangkah keluar dari rumah tanpa menoleh lagi.

Enjin kereta dihidupkan semula. Dalam sekelip mata, Harraz sudah meluncur pergi, meninggalkan kekacauan di belakangnya.

Unwritten Notes Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang