Zara melangkah keluar dari kedai runcit kecil di pekan itu. Plastik berisi barang tergantung di tangannya. Udara pagi masih segar, dengan embun yang belum sepenuhnya mengering di hujung daun. Pekan kecil itu perlahan-lahan mulai hidup, deru enjin kenderaan sesekali memecah keheningan, dan beberapa peniaga sibuk menyusun barang di gerai mereka.
Dia menarik nafas panjang, membiarkan aroma kopi dari kedai berhampiran mengisi deria. Matahari pagi memancarkan sinarnya yang lembut, mencipta bayang-bayang panjang di jalan berbatu.
Zara melangkah santai di jalan pintas menuju Tasik Ria, menikmati keheningan pagi yang hanya ditemani bunyi burung berkicau dari dahan ke dahan. Angin sejuk masih terasa menyentuh kulit, membuatkan dia sedikit menggigil. Plastik di tangannya berayun perlahan, berat barang yang dibeli tadi terasa biasa saja, sehinggalah telinganya menangkap sesuatu yang membuatkan langkahnya terhenti serta-merta.
"Grrr..."
Bulu romanya meremang. Dia berpaling ke tepi jalan, matanya membulat saat melihat seekor anjing berdiri tidak jauh darinya. Bulu haiwan itu kelihatan kusut, matanya tajam memerhati, dan bibirnya sedikit tertarik ke belakang, menampakkan taring yang mencurigakan.
Zara menelan liur.
"Jangan buat hal, Zara... Jangan gerak tiba-tiba..." dia berbisik kepada dirinya sendiri, cuba menenangkan debar di dada.
Tapi sebelum sempat dia memikirkan langkah seterusnya-
"WOOF! WOOF! WOOF!"
Anjing itu menyalak kuat. Zara terkaku. Nafasnya tersekat, dan dalam beberapa saat yang terasa seperti sejam, dia hanya mampu berdiri kaku.
Kemudian, anjing itu melangkah.
Langkahnya perlahan pada mulanya, tetapi saat mata mereka bertemu, haiwan itu tiba-tiba memecut ke arahnya.
Jantung Zara hampir gugur.
"YA ALLAH IBUUUUUU..!"
Dia terus membuka langkah, berlari sekuat hati, plastik barang di tangannya terhuyung-hayang. Jantungnya berdegup kencang, denyutan darah di telinga hampir menenggelamkan segalanya. Langkahnya semakin laju, kasutnya hampir tergelincir di atas batu kecil di jalan..
"ARGHHH!" Zara menjerit, plastik barangnya terlepas. Dia terus pecut ke depan, lari macam hidupnya bergantung pada itu saja.
Belok kiri. Belok kanan.
Dalam kalut, dia tak perasan selekoh depan ada seseorang.
BAM!
Zara terlanggar dada seseorang dengan kuat, sampai hampir terpelanting. Lelaki itu bergerak ke belakang, jelas terkejut.
Harraz.
Zara mendongak. "AWAK! LARIII!!"
Harraz berkerut. "Hah?"
Zara tak tunggu. Dia terus menarik lengan baju Harraz dan mula berlari, memaksanya ikut.
Harraz separuh rela, separuh tak faham. "Eh, aku-"
"ANJING!"
Harraz terus pusing kepala ke belakang. Bila nampak makhluk berbulu hitam mengejar mereka, mata dia membulat.
"LARI CEPAT, AWAK!"
Dan untuk pertama kali dalam hidup, Harraz yang sentiasa nampak cool, terpaksa lari kelam-kabut ikut Zara.
Nafas Zara masih tercungap-cungap ketika dia akhirnya berhenti berlari. Tangannya menekan lutut, dada turun naik menahan degupan jantung yang masih kencang. Dia menjeling ke sisi, melihat Harraz berdiri tegak dengan wajah yang sukar dibaca.
Mata lelaki itu tajam menikam ke arahnya, tidak bersuara walau sedikit pun. Tapi Zara dapat rasa sesuatu, sesuatu yang tidak menyenangkan.
Dia mengerut dahi, cuba memahami kenapa Harraz memandangnya begitu. Namun sebelum sempat dia bertanya, lelaki itu sudah menghela nafas.
Tanpa sepatah kata, tangan Harraz naik ke bahunya sendiri, jari-jari panjang itu menggenggam bahagian bajunya yang sudah longgar. Dengan gerakan sedikit kasar, dia menarik semula lengan bajunya ke tempat asal.
Zara terdiam.
Harraz mendengus kecil sebelum menjauhkan diri, kepalanya sedikit menunduk seolah-olah menahan sesuatu. Marah? Geram?
"Err... saya cuma nak selamatkan kita je." Zara cuba meredakan suasana, suaranya perlahan. "Kalau kena kokak nanti macam mana? Saya tak nak jadi zombie."
Harraz yang sedang menarik nafas dalam cuba menenangkan diri, terus menoleh tajam.
"Zombie? Rebies, zombie apanya!" Dia menggeleng perlahan, nada suaranya penuh keletihan. "Kau tak reti nak acah anjing ke apa?"
Zara terdiam lagi.
Harraz membuang pandangan, beristighfar dalam hati. "Anjing takkan kejar kalau kau tak takut."
Zara menggaru kepala yang tak gatal. "Saya panik tadi..."
Harraz menghela nafas panjang sekali lagi. "Lain kali, guna otak dulu sebelum lari."
"Er.. tapi saya guna kaki dulu untuk lari." Dengan muka selamba tak bersalah, Zara menyatakan fakta yang kedengaran gila.
Harraz terkedu sejenak. Mata dia merenung Zara tanpa ekspresi sebelum akhirnya menghembus nafas berat. "Patutnya anjing tu gigit je kau. Biar jadi zombie."
Zara tersengih. "Atleast saya dah balas budi awak. Selamatkan awak daripada jadi zombie."
----
BAM!
Meja bergegar, hampir menumpahkan gelas air yang masih berbaki separuh. Tapi Johan langsung tak peduli. Nafasnya berat, rahangnya mengeras, jari-jemarinya mengepal kuat.
Kepalanya masih dihantui kejadian tadi. Mia.
Dia bukan sekadar mempermalukannya, tetapi dia menamparnya di depan semua orang. Menghinanya kerana gagal melaksanakan tugas. Meremehkan dia seolah-olah dia tak lebih daripada sekadar budak suruhan yang tak berguna.
"Relaks la," Salina bersuara, cuba meredakan ketegangan.
Johan mengangkat wajah, matanya berkilat tajam. "Relaks?" Suaranya perlahan, tapi menikam. "Kau tak nampak ke macam mana Mia malukan aku tadi?"
Salina dan Melly saling berpandangan, tak berani menjawab.
Johan ketawa kecil, sinis dan penuh bisa. "Dia ingat aku lemah?"
Tangannya naik, menekan batang hidung, cuba mengawal sesuatu yang sedang bergelora di dadanya. Tapi hakikatnya, amarah itu sudah lama meletus dalam dirinya.
"Okay." Dia menghela nafas, pandangannya tajam, seakan menembusi dinding di hadapannya. "Kau nak sangat betina tu hancur, kan?" Dia menoleh ke arah mereka berdua, bibirnya melengkung dengan satu senyuman yang tak membawa kegembiraan. "Aku akan buktikan. Aku akan buat betina tu hancur. Hancur sehancur-hancurnya."
Dia bersandar ke belakang, jari telunjuknya bermain di permukaan meja.
"Kau nak buat apa?" Melly berkerut dahi. Gerun dengan ayat dan ekspresi Johan.
"Buat sesuatu yang jauh lebih kejam dari yang kita pernah fikir."

ANDA SEDANG MEMBACA
Unwritten Notes
Romance??????????????: ???.? ?????? ?????? ?????? × ???? ?????? ? Tengku Harraz Aldean punya segalanya; nama, warisan, dan masa depan yang telah dirancang. Tetapi jiwanya memilih jalan yang tidak direstui. Duni...